500 jemaah haji jayakan Arafah #QuranHour

Iklan
Sebahagian daripada peserta Program Arafah #QuranHour yang berlangsung di Makkah.

SHAH ALAM- Program Arafah #QuranHour yang berlangsung pada Rabu di seluruh dunia turut disertai kira-kira 500 jemaah haji Malaysia di Makkah.

Program itu berlangsung di Ibu Pejabat Tabung Haji Abraj Al Janadriyah dan dipimpin oleh Pengurus Bimbingan Tabung Haji (TH) Makkah, Shahrin Awaludin.

Iklan
Iklan

Shahrin dalam ucapannya mengingatkan agar jemaah haji dan umat Islam sentiasa bersyukur dengan anugerah daripada Ilahi.

Menurutnya, iman dan Islam adalah nikmat terbesar yang diberikan oleh ALLAH SWT kepada hambaNya.

Iklan

"Marilah kita mensyukuri nikmat ini dengan melaksanakan seluruh perintah ALLAH dan meninggalkan laranganNya.

"Setiap muslim wajib bersyukur dengan nikmat Islam yang telah diberikan dan manusia yang tidak melaksanakan kewajibannya kepada ALLAH adalah manusia yang paling tidak tahu berterima kasih," katanya.

Iklan

Pada majlis itu juga, para peserta bersama-sama membaca dan bertadabbur Surah al-Insaan.

Bacaan surah diketuai oleh pembimbing ibadah haji, Khairul Basri Osman dan pentadabbur, Osman Mat Zin.

Arafah #QuranHour kali ini bertemakan 'Syukur Membina Takwa' merupakan gerakan yang membina sistem nilai melalui al-Quran dan Sunnah dengan solidariti yang dilaksanakan bermula dari Arafah ke seluruh dunia.

Shahrin sewaktu berucap pada Program Arafah #QuranHour yang berlangsung di Makkah.

Dalam pada itu, Shahrin berkata, mereka yang terpilih menunaikan ibadah haji kali ini sangat beruntung kerana berada di tempat dan waktu yang mulia.

"Persiapan telah dibuat dari tanah air lagi agar semua jemaah mendapat haji yang mabrur. Ia bukanlah mudah untuk semua dan memerlukan persediaan serta kefahaman yang betul terhadap agama ALLAH SWT.

"Tabung Haji sedaya upaya membimbing semua sehingga selesai dan berharap jemaah kita mendapat haji yang mabrur," katanya.