Menabung sejak kecil, tunai haji usia muda

Iklan
Faridah Mohd Yusop bersama anak-anaknya menunaikan haji.

SHAH ALAM - Kesungguhan seorang ibu yang mula menabung dengan Tabung Haji untuk anaknya sejak kecil membolehkan kedua-dua mereka menunaikan haji pada usia muda.

Menurut Faridah Mohd Yusop, 46, seorang akauntan, dia mula menyimpan duit untuk mereka di Tabung Haji ketika Tengku Amran Tengku Awang, 15, dan Tengku Irdeena Zahra Tengku Amran, 16, masing-masing berusia empat tahun.

Iklan
Iklan

"Saya buat persediaan awal dengan membuat tabungan untuk kedua-dua anak saya di Tabung Haji melalui duit simpanan mereka. Contohnya, apabila dapat duit raya mahupun hadiah sempena hari lahir, saya akan pastikan wang tersebut tidak digunakan oleh mereka sebaliknya disimpan di bank.

"Selain itu, saya juga menyediakan tabung harian mereka, setiap hari saya akan memperuntukan wang RM 10 atau RM 5. Tidak perlu banyak, sikit pun jadilah, cukup sebulan saya akan simpan di Tabung Haji," katanya yang terinspirasi dengan sikap ibu.

Iklan

Faridah ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu, dia hanya mengikut jejak langkah ibunya yang memotong gaji RM10 untuk disimpan dalam Tabung Haji.

"Apa-apa pun, ia adalah panggilan dari ALLAH, saya bersyukur sangat. Jika saya boleh kongsikan amalan anak-anak, mereka akan mulakan hari dengan membaca al-Quran, buat lah secara istiqamah dan 'Insya-ALLAH ada peluang nanti," ujarnya.

Iklan

Sementara itu, Mohamad Salleh Yusof, 66, berkata, akaun Tabung Haji harus dijadikan simpanan kekal demi masa depan anak-anak.

"Kalau sudah simpan duit dalam Tabung haji jangan keluarkan, ada rezeki dan simpanan cukup Insya-ALLAH anak-anak dapat menunaikan rukun Islam itu pada usia muda.

"Kita sebagai ibu bapa asingkan siap-siap, jangan simpan lepas itu keluarkan untuk digunakan bagi keperluan lain," ujarnya.

Mohamad Salleh Yusof

Mohamad Salleh menjelaskan, dia dan isteri mendaftar haji untuk anak-anak iaitu Khairul Aswad, 37; Muhammad Faiz, 35, dan Farah Adibah, 29, ketika mereka masih bayi.

"Dapat surat beranak saya terus daftar. Menabung dengan Tabung Haji tidak bermakna secara automatik didaftarkan untuk panggilan haji, ramai yang salah faham. Kalau dulu boleh daftar awal tetapi sekarang setahu saya dalam akaun kena mencukupi jumlah yang ditetapkan Tabung Haji.

"Oleh itu daftar awal. Tidak dinafikan ramai ibubapa berbuat perkara yang sama iaitu membuka akaun Tabung Haji sejak kecil tetapi terlepas pandang mengenai pendaftaran itu," katanya.