SHAH ALAM - Mereka yang menunaikan haji di usia muda dapat memenuhi tuntutan kemampuan dari aspek fizikal dan kesihatan badan dengan sempurna yang mana menjadi syarat keutamaan dalam ibadah berkenaan.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ia berikutan sebahagian besar daripada amalan haji itu bergantung kepada penggunaan tenaga fizikal yang mana golongan orang muda lebih digalakkan dalam ibadah tersebut.
"Pergerakan-pergerakan dari awal sehingga akhir adalah banyak bergantung kepada kekuatan fizikal. Tawaf, sa’i, duduk di Padang Arafah, melontar di ketiga-tiga jamrah, bermalam di Muzdalifah, semuanya banyak menggunakan tenaga.
"Saya merasakan bahawa kalau dapat orang-orang muda ini menunaikan haji, memang itu sangat memenuhi tuntutan istito’ah (kemampuan tunai haji) itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Dalam pada itu, ujar Mohamad Shukri, mereka yang terpilih menunaikan haji pada usia muda itu juga mendapat ganjaran yang besar di sisi ALLAH SWT.
Menurutnya, apabila dapat menunaikan haji, bermakna ia menjadi pelengkap kepada pegangan agama Islam untuk seseorang individu itu, secara langsung memperluaskan pandangan dan minda anak-anak muda.
"Kalau kita dapat mendidik generasi muda untuk pergi haji, mereka akan mendapat kekuatan Islam yang luar biasa tetapi dengan syarat menghayati amalan haji itu dengan bersungguh-sungguh.
"Nama pun hebat-hebat, Kaabah itu nama Baitullah, rumah ALLAH. (Orang) Yang pergi itu pun tetamu ALLAH dan kalau tetamu ini, mereka akan mendapat layanan yang baik daripada tuan rumah.
"Jadi ini kekuatan-kekuatan yang ada di Makkah untuk orang-orang muda ini,” ujarnya.