'Mama, Hasan rindu ayah'

Iklan
Suriahanim menyifatkan Hasan sebagai anak yang sangat baik dan taat, mirip keperibadian arwah suaminya.

KUALA LUMPUR - 'Mama...Hasan rindu ayah'. Itu ungkapan yang memberi kesan mendalam buat Suriahanim Abdul Hamid, 48, yang merupakan balu mangsa korban kejadian rempuhan di Mina pada musim Haji 2015.

Meskipun tragedi menyayat hati itu telah lapan tahun berlalu, kehilangan suami tercinta, Allahyarham Zulkifli Samad ketika anaknya, Hasan Zakiy Zulkifly berusia dua tahun, menjadi fasa mencabar yang dilalui Suriahanim, lebih-lebih lagi ketika perlu menerangkan hal sebenar tentang pemergian tersebut.

Iklan
Iklan

"Hasan hanya tahu perkara sebenar tiga tahun lalu. Apabila arwah meninggal dunia, kami sekeluarga hanya beritahu Hasan bahawa ayahnya pergi berjumpa ALLAH di Makkah dan ambil masa yang lama untuk balik semula ke Malaysia.

"Sehinggalah umurnya tujuh tahun, baru kami maklumkan ayahnya telah meninggal dunia semasa menunaikan ibadah haji...dia bertanya kenapa ayahnya meninggal...saya banyak bercerita tentang tragedi yang menimpa arwah kepada Hasan dan lama-kelamaan dia faham.

Iklan

"Sejak dia faham, kadang-kadang dia akan menangis tiba-tiba...apabila ditanya mengapa, sambil teresak-esak dia beritahu yang dia teringatkan dan rindukan arwah ayahnya," katanya kepada Sinar Harian.

Suriahanim bersama anak-anaknya ketika menunaikan Umrah Disember tahun lalu.

Suriahanim berkata, rindu yang sering diungkap Hasan membulatkan tekadnya untuk membawa Hasan menunaikan ibadah umrah sekali gus dapat menziarahi kawasan perkuburan arwah suaminya dan hasrat itu telah dilaksanakan hujung tahun lalu.

Iklan

"Sepanjang ziarah, Hasan menangis teresak-esak rindukan arwah ayahnya. Namun hanya doa yg dapat kami sampaikan kepada arwah yang berada di negeri abadi," katanya.

Bercerita lanjut, katanya, pengalaman sebagai ibu tunggal yang mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu banyak memberi kekuatan kepada dirinya untuk terus tabah dalam membesarkan Hasan.

Suriahanim bersama anak sulungnya dan Hasan ketika menziarahi Perkuburan Syara’ik di Mina, Makkah tempat bersemadinya jasad Allahyarham Zulkifli Samad yang terkorban dalam tragedi rempuhan manusia di Mina ketika musim Haji 2015

Jelasnya, Hasan merupakan satu-satunya zuriat bersama arwah Zulkifly yang juga menjadi anak lelaki tunggal Allahyarham.

"Arwah suami ada empat anak perempuan hasil perkahwinan terdahulu, mungkin kerana Hasan anak lelaki tunggalnya, jadi mereka rapat.

"Semasa arwah masih hidup, arwah sangat pentingkan ilmu agama dalam didikan anak-anak. Bila solat jemaah, Hasan pasti akan duduk bersama kami, lihat kami solat, kadang-kadang bermain-main naik atas belakang arwah ayahnya masa sujud, duduk atas ribaan ayahnya ketika tahiyyat," kongsinya lagi.

Suriahanim juga berkongsi tentang karektor Hasan yang disifatkan sebagai anak yang sangat baik dan taat, mirip keperibadian arwah suaminya.

"Paling ketara Hasan sangat pentingkan solat sejak umur enam tahun hingga sekarang, Alhamdulillah solat tak tinggal.

"Kalau kami keluar berjalan-jalan, Hasan akan pastikan semua orang solat dahulu sebelum meneruskan apa-apa aktiviti luar jika dah masuk waktu solat.

"Kalau dia tertidur contohnya sebelum solat Isyak, Hasan akan bangun sendiri di awal pagi untuk solat dan jika terlepas sekalipun, dia akan ganti solatnya tanpa disuruh," katanya yang mengakui sentiasa mengamalkan doa Nabi Ibrahim sejak Hasan dalam kandungan lagi.

Hasan yang kini berusia 10 tahun, bersekolah di sekolah agama integrasi dan mahu menghafal al-Quran.

"Insya-ALLAH suatu hari nanti moga ALLAH makbulkan doa saya agar Hasan menjadi seorang Al-Hafiz yang cemerlang di dunia dan akhirat," katanya.

Pada September 2015, Zulkifly disahkan meninggal dunia dalam insiden rempuhan di Mina selepas tersasar ke kawasan kejadian kerana dipercayai bergerak berasingan daripada jadual jemaah haji Malaysia yang lain.

Insiden rempuhan manusia yang dilapor mengorbankan lebih 2,000 nyawa itu berlaku pada jam 11.30 pagi (waktu Arab Saudi) ketika umat Islam sedang menunaikan rukun Islam yang kelima.