CHANDIGARH - Rakaman video kejadian menggemparkan melibatkan sebuah permainan yang gagal berfungsi lalu terhempas ke tanah dari ketinggian 15 meter di sebuah karnival di India tahun lalu kembali menjadi tular di Twitter.
Insiden di Mohali, Punjab pada 4 September 2022 itu turut menyebabkan 16 pengunjung cedera berikutan impak hentakan mengakibatkan mangsa tercampak keluar.
Saksi, Jaspreet Kaur mendakwa, keadaan menjadi huru-hara dan beberapa pengunjung segera membantu mangsa yang mengalami kecederaan dan membawa mereka ke hospital berhampiran.
"Tiada ambulans yang dikerahkan ke lokasi itu. Pekerja di karnival itu juga bertindak melarikan diri," ujarnya.
Menurut laporan media tempatan, permainan itu sepatutnya tidak lagi digunakan selepas tarikh 31 Ogos, namun operasinya dilanjutkan sehingga 11 September.
Penganjur karnival itu memaklumkan mereka telah melancarkan siasatan untuk menentukan punca masalah teknikal tersebut.
"Ia tidak pernah berlaku sebelum ini dan kami sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa," katanya.
Tragedi itu telah meningkatkan kebimbangan tentang tahap keselamatan permainan di taman tema di New Delhi. - Agensi