KKM umum SOP baharu Covid-19

Iklan
Dr Zaliha - Foto Bernama

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) baharu dan pelanjutan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan berdasarkan penilaian situasi semasa jangkitan, merujuk kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkaitan transisi pengurusan jangka masa panjang pandemik Covid-19.

Ia susulan pencapaian dalam pengurusan pandemik Covid-19 yang berjaya mengekang penularan jangkitan dan memulihkan perkhidmatan kesihatan negara.

Iklan
Iklan

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, antara SOP baharu tersebut adalah mengenai pemakaian pelitup muka, prosedur pengasingan kes disahkan Covid-19 dan pelanjutan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan.

"Individu dikehendaki memakai pelitup muka bagi kes positif Covid-19 dan ketika berada di fasiliti kesihatan mengikut amalan Kawalan dan Pencegahan Infeksi semasa berhadapan atau mengendalikan pesakit.

Iklan

"Pemakaian pelitup muka amat digalakkan bagi individu berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu imuniti rendah atau ibu mengandung terutama ketika berada di tempat sesak dan pengudaraan kurang baik.

"Individu bergejala respiratori bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain dan semasa berada dalam perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, kapal terbang, teksi termasuk e-hailing, bas atau van sekolah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, bagi prosedur pengasingan kes disahkan Covid-19, arahan pengasingan diteruskan dengan tempohnya dipendekkan dari tujuh kepada lima hari dari gejala pertama.

Tambahnya, ia berdasarkan kajian yang mengatakan bahawa infektiviti kes Covid-19 tinggi pada lima hari pertama dari onset gejala dengan viral yang tinggi pada tempoh tersebut.

"SOP pemakaian pelitup muka dan prosedur pengasingan kes disahkan Covid-19 berkuat kuasa mulai 5 Julai 2023,” ujar beliau.

Selain itu, bagi pelanjutan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan, status kawasan tempatan jangkitan yang akan tamat pada 30 Jun dilanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi, iaitu sehingga 31 Disember 2023.

Ujarnya, ia bagi membolehkan penguatkuasaan beberapa peruntukan di dalam Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit iaitu Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan, Pelan Pemulihan Negara, Fasa Peralihan ke Endemik 2022 yang digubal atas kuasa Menteri di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

Sehubungan dengan itu, beliau menjelaskan, pelanjutan pengisytiharan Malaysia sebagai ‘Kawasan Tempatan Jangkitan’ juga masih diperlukan memandangkan terdapat risiko kemunculan varian dan subvarian baharu virus SARS-CoV-2.

"Perhimpunan ramai yang dijangka berlaku semasa sambutan Hari Raya Aidiladha dan pilihan raya negeri (PRN) berkemungkinan menyumbang risiko kepada peningkatan kes, membebankan sistem perkhidmatan kesihatan kerajaan jika langkah kawalan dan pencegahan tidak dilaksanakan sepenuhnya.

"Orang ramai perlu memikul tanggungjawab yang lebih besar bagi melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi seluruh komuniti terutamanya golongan berisiko tinggi,” katanya dalam kenyataan sama.