BEKAS bapa mentua kepada pelawak Shuib iaitu Raissuddin Hamzah akui gembira dengan perkahwinan menantunya.
Menurut Raissuddin, dia telah menganggap Shuib seperti anaknya sendiri dan berharap pelawak itu dapat memberikan layanan yang baik terhadap isterinya iaitu Watie Hanifiah.
"Tahniah buat Shuib dan Watie, selamat pengantin baru semoga kekal hingga ke Jannah dan saya mendoakan mereka akan bahagia. Insya-Allah.
"Shuib seorang yang sangat prihatin dan akan mendahulukan keluarga dalam apa juga perkara.
"Dia tidak sepatutnya memikirkan saya lagi, sebaliknya Shuib harus beri keutamaan dan menjaga perasaan isterinya seperti mana dia melayan arwah isterinya dan keluarga saya suatu ketika dahulu,” katanya ketika ditemui Gempak.
Dalam pada itu, Raissuddin juga mendedahkan bahawa Shuib tidak pernah mengabaikannya walaupun arwah Siti Sarah telah meninggal dunia.
"Walaupun arwah Siti Sarah sudah tiada, Shuib tetap menganggap saya seperti bapanya sendiri. Dia juga mendahulukan saya dalam segala hal.
"Malah masa majlis pernikahannya juga dia minta saya duduk di hadapan untuk menemaninya sebagai saksi," ujarnya.
Terdahulu, Shuib bergelar suami kepada Watie Hanifiah dengan sekali lafaz pada majlis yang berlangsung di Putra Glass House, Putra Heights, Subang Jaya pada Jumaat.
Shuib sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan arwah Siti Sarah pada tahun 2011.
Hasil perkongsian hidup bersama arwah Siti Sarah, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 12, Dzahira Talita Zahra, 10, Ariq Matin, 7, dan Ayash Affan, 2. - Awani-Gempak