Remaja 13 tahun pandu kereta bawa empat rakan ditahan

Iklan
Remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan setelah dikesan memandu kereta tanpa lesen dengan membawa empat penumpang di Taman Banggol Indah, Chukai di Kemaman pada Khamis. - Foto ihsan PDRM

KEMAMAN - Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan polis kerana memandu kereta secara melulu dan tanpa lesen dengan membawa empat penumpang di Taman Banggol Indah, Chukai di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, remaja terbabit ditahan kira-kira jam 5.15 petang setelah dikesan memandu kenderaan secara melawan arus.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan itu disedari anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman ketika menjalankan Op Lancar/Op Samseng Jalanan di sekitar kawasan itu pada jam 4 petang.

"Polis mengesan suspek yang memandu kereta jenis Proton Saga berwarna putih datang dari arah bertentangan secara melawan arus ketika melalui Jalan Bawah Jambatan Geliga (Waterfront).

Iklan

"Anggota bertugas cuba menahan kenderaan itu namun pemandunya tidak mengendahkan arahan supaya berhenti dan terus memecut laju untuk melarikan diri.

"Polis terus mengekori dan mengarahkan supaya kereta itu berhenti sebanyak tiga kali namun masih tidak diendahkan," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Khamis malam.

Iklan

Menurut Hanyan, polis mengekori suspek sejauh 10 kilometer (km) sebelum remaja berkenaan memberhentikan kenderaan di sebuah kedai dobi layan diri dan bertindak melarikan diri.

"Suspek bersama empat rakan berusia lingkungan 13 hingga 16 tahun berjaya ditahan dan dibawa ke BSPT Kemaman untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.

Hanyan berkata, pihak polis akan mereman suspek pada Jumaat untuk diambil keterangan manakala penumpang lain telah dibebaskan.

Jelas beliau, pemilik kenderaan iaitu ibu suspek juga akan dipanggil untuk diambil keterangan dan berdepan saman kerana membenarkan orang yang tiada lesen memandu kenderaan.

Dalam pada itu, Hanyan berkata, polis mengesan beberapa kesalahan lain dilakukan suspek menyebabkan kereta itu dipandu secara melulu dan berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

"Suspek memandu kereta secara zigzag di jalan persekutuan bermula dari kilometer 155 hingga kilometer 157, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dan tidak berhenti di lampu isyarat Mak Lagam.

"Kereta itu juga telah memotong secara bahaya dan potong Q (potong barisan) di lampu isyarat Stesen Bas Geliga," katanya.