KELAB Manchester United mengikat pemain tengah England, Mason Mount dari Chelsea dengan bayaran pendahuluan 55 juta pound (RM324 juta).
Menerusi perjanjian itu, Mount akan memperoleh bayaran tambahan 5 juta pound (RM29.4 juta) jika membuat penampilan cemerlang dan meraih kejayaan bersama Red Devils.
Kontrak pemain berusia 24 tahun itu bersama Chelsea akan tamat tahun hadapan.
Difahamkan Mount juga bersetuju dengan kontrak lima tahun selain pilihan bagi lanjutan setahun lagi.
Kehadiran Mount di Old Trafford akan memberi banyak pilihan buat bos United, Erik ten Hag di bahagian tengah.
Mount memulakan karier bola sepaknya di akademi Chelsea, meledak 27 jaringan, 22 umpanan gol dalam 129 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat The Blues.
Mount juga pernah membantu Chelsea memenangi Liga Juara-Juara pada 2021 dan dia meraih 36 cap bersama England.
Bagaimanapun pemain tengah menyerang itu hanya menghasilkan tiga gol dalam saingan EPL musim lalu ketika prestasinya merudum selain bergelut dengan kecederaan.