Ganjaran wang perangkap mangsa

Iklan
Antara taktik digunakan sindiket penipuan yang menawarkan ganjaran kepada pengguna media sosial.

SHAH ALAM - Ganjaran wang kepada pengguna media sosial antara taktik yang dikesan digunakan sindiket penipuan untuk memerangkap orang awam.

Lebih mengejutkan sindiket penipuan ini memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai pempengaruh media sosial terkenal.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket penipuan ini menggunakan taktik tersebut untuk memperoleh maklumat peribadi pengguna.

"Sindiket penipuan ini bertindak menyamar dengan menggunakan profil individu lain yang dikenali.

Iklan

"Sindiket menggunakan pelbagai platform media sosial antaranya Facebook, Instagram, WhatsApp dan sebagainya dan memuat naik iklan yang melibatkan ganjaran kewangan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pengguna diminta mengisi maklumat peribadi kononnya untuk urusan penebusan ganjaran yang ditawarkan.

Katanya, selepas beberapa proses tertentu, pengguna kemudian diminta mengisi maklumat peribadi menerusi pautan disediakan.

Iklan

"Maklumat peribadi pengguna diminta kononnya untuk urusan pembayaran ganjaran.

"Kesilapan pengguna adalah terus mempercayai taktik ini dan memberikan maklumat peribadi sekali gus menyebabkan pengguna menjadi mangsa," katanya.

Menurutnya, orang ramai khususnya pengguna media sosial dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dengan iklan seperti itu.

"Kesemuanya adalah berbentuk penipuan. Jika adapun yang benar, ia tidaklah semudah iklan atau tawaran seperti yang dipaparkan.

"Iklan sebegini pastinya mempunyai latar belakang atau rentetan tertentu, bukannya datang secara tiba-tiba menawarkan ganjaran," katanya.

Ujar Ramli, pengguna seharusnya tidak sewenang-wenangnya memberikan maklumat peribadi kepada pihak yang tidak dikenali.

"Jangan sesekali dedahkan sebarang maklumat peribadi, sekiranya menerima sebarang tawaran yang berupa ganjaran, lakukan semakan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihannya.

"Jangan mudah tertipu apabila melihat ganjaran berupa wang ringgit, sekiranya ragu-ragu lakukan semakan secara lanjut agar tidak menjadi mangsa," katanya.