SHAH ALAM - Tiada lesen memandu selain cukai jalan motosikal tamat tempoh antara kesalahan dikesan menerusi operasi khas motosikal yang dijalankan di beberapa lokasi utama di sekitar Selangor pada Khamis.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, operasi sempena Ops Hari Raya Aidiladha 2023 itu dijalankan di beberapa lokasi seperti Plaza Tol Batu 3, Plaza Tol Bukit Raja, Plaza Tol Sungai Balak Kajang dan Jalan Subang Bestari.
"Sebanyak 851 motosikal telah diperiksa dan 384 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Antara kesalahan yang dikesan adalah tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada cermin sisi dan lain-lain kesalahan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, selain operasi melibatkan motosikal, pihaknya turut menjalankan penguatkuasaan dan pemantauan bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar.
"Operasi turut difokuskan kepada beberapa faktor yang dilihat boleh menjadi penyebab atau risiko kepada kemalangan.
"Antara aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan adalah melakukan rondaan di lebuh raya dan kawasan kerap kemalangan, mengadakan operasi motosikal dan penyamaran di dalam bas serta pemeriksaan bas," katanya.
Menurutnya, pihaknya menyasarkan untuk mengurangkan kadar kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan Aidiladha ini.
"JPJ Selangor memberi komitmen tinggi mencapai sasaran mengurangkan kadar kematian dan kecederaan sebanyak 50 peratus pada tahun ini.
"Pengguna jalan raya diingatkan agar sentiasa mementingkan aspek keselamatan selain patuh kepada peraturan yang ditetapkan," katanya.