USAHA West Ham United untuk mendapatkan Harry Maguire mungkin tidak kesampaian apabila pemain pertahanan itu dilaporkan menuntut gaji tinggi.
Kapten Manchester United itu berpotensi meninggalkan Old Trafford pada musim panas ini selepas kerap berada di bangku simpanan musim ini.
Iklan
Iklan
Maguire hanya membuat 16 penampilan dalam Liga Perdana Inggeris dan menyaksikan pemain pertahanan lain seperti Lisandro Martinez, Raphael Varane dan Luke Shaw mendominasi posisi tersebut.
United menandatangani Maguire dari Leicester City pada 2019 dengan nilai perpindahan €93 juta (RM472.92 juta) sekali gus menjadi pemain pertahanan termahal di EPL.
Pemain England itu mengharungi aksi tidak konsisten dan kedatangan Erik ten Hag selaku pengendali United menyaksikan dia semakin dipinggirkan daripada pasukan utama.
West Ham merupakan kelab yang berminat untuk menandatangani pemain itu namun tuntutan gaji Maguire dikatakan membimbangkan pengurus David Moyes.
The Hammers menamatkan penantian 43 tahun untuk menjulang trofi selepas merangkul piala Liga Persidangan Europa pada penghujung musim lalu dan sedang berkira-kira untuk menambah baik kualiti pasukan.