SEPANG - Syarikat Penerbangan Tambang Murah MyAirlines menawarkan diskaun 20 peratus tiket penerbangan kepada pelajar 16 tahun sehingga 26 tahun bagi meringankan beban ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif MyAirlines, Rayner Teo berkata, menerusi inisiatif program ‘MYAirline Students’ bukan sahaja melibatkan pelajar domestik, tetapi juga bagi pelajar antarabangsa yang melanjutkan pelajaran di mana-mana institusi pengajian dalam negara ini.
Menurut beliau, pelajar perlu mendaftar sebagai ahli MYAirline Rewards bagi menikmati tawaran istimewa tersebut.
"Mereka perlu menyediakan surat pendaftaran yang sah dengan gambar berukuran pasport.
"Usaha ini penting bagi memastikan para pelajar dapat bersama dengan keluarga sewaktu musim perayaan,” katanya semasa pelancaran Double Take Off di KLIA Terminal 2 pada Jumaat.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengulas, usaha syarikat penerbangan MYAirline dalam menangani keperluan pelajar turut membantu sektor pelancongan negara dengan menawarkan harga berpatutan.
Ujarnya, jika beberapa syarikat penerbangan melaksanakan inisiatif yang sama, ia akan memberi persaingan ekonomi yang sihat.
"Saya amat menghargai dan memuji MYAirline untuk menangani keperluan pelajar dan keluarga mereka dengan menawarkan pilihan pengangkutan berpatutan.
"Ia merupakan faktor penting apabila lebih ramai pelajar akan melanjutkan pelajaran mereka dalam negara dan mampu menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi lebih luas,” jelasnya.
Tambah beliau, prospek ekonomi dan pelancongan yang kukuh akan membuka ruang dan peluang kepada negara jiran untuk meneroka pasaran perniagaan di negara ini.
Dalam pada itu menurutnya, dengan mengukuhkan ekonomi yang mampan ia mampu menjadi petanda yang baik kepada aktiviti perdagangan serantau.
"Peningkatan ini mampu mewujudkan persekitaran yang memupuk perdagangan, pelaburan dan budaya pertukaran lebih terbuka.
"Pelancaran pembukaan laluan antarabangsa adalah langkah penting ke arah hubungan serantau dan potensi kolektif ekonomi serta penanda aras baik kepada negara serantau bergerak ke hadapan,” katanya.