SHAH ALAM - Kakitangan awam dan swasta gred rendah perlu lebih berani untuk melaporkan kegiatan rasuah pegawai atasan sekiranya berlaku isu berkenaan dalam organisasi.
Yang di-Pertua IKRAM Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, pekerja harus mendedahkan perkara itu ke peringkat yang lebih tinggi seperti membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya, golongan pekerja gred rendah juga perlu menasihati pegawai atasan berkenaan terlebih dahulu sekiranya tiada keberanian untuk melaporkan secara terus.
"Mereka boleh bertindak sebagai pemberi maklumat tanpa nama dengan mendedahkan aktiviti rasuah yang berlaku di peringkat atasan jika tiada perubahan sikap.
"Perkara ini kena ada orang mulakan, lebih teruk jika ia melibatkan kedua-dua belah pihak (kakitangan gred rendah dan pegawai atasan), kerana akan merugikan rakyat dan negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Pada Rabu, Yang Dipertua IKRAM Negeri Perlis, Profesor Madya Dr Shahrir Rizal Kasjoo berkata, pemantauan daripada ketua-ketua jabatan terhadap kakitangan gred rendah dalam tadbir urus sektor awam atau swasta perlu diperketatkan sebagai usaha mencegah mereka daripada terlibat dalam gejala rasuah.
Katanya, mereka yang dipilih sebagai ketua jabatan selain berkelayakan, perlulah mempunyai jati diri dan tanggung jawab tinggi untuk memantau segala aktiviti pekerja.
Mengulas lanjut, Zainal berkata, pihak atasan mempunyai kuasa untuk memastikan setiap tatakelola yang ditetapkan mana-mana organisasi dilaksanakan dengan baik.
"Mereka juga perlu beri contoh yang bagus dengan menegur kakitangan supaya tidak terlibat dengan jenayah rasuah contohnya amalan beri duit kopi.
"Kadangkala hanya kerana duit kopi, rasuah menjadi semakin berleluasa sehingga menjadi tabiat dan mereka memandang perkara ini hanya sebelah mata sahaja,” ujarnya.
Beliau turut berpendapat, perkara tersebut menjadikan jabatan-jabatan tidak lagi mendapat kepercayaan orang ramai, namun tidak menafikan terdapat segelintir pihak awam yang cuba merasuah kakitangan awam atau swasta sama ada gred rendah atau pegawai atasan.