ISKANDAR PUTERI -"Saya perasan dia tak banyak cakap sejak dua tiga hari ni, biasanya taklah macam tu."
Demikian menurut Nur Syafiqah Mohd Yazid, 28, iaitu kakak ipar kepada Allahyarham Muhammad Zaihan Jasni, 17, yang maut dipanah petir ketika menjala ketam bersama bapanya, Jasni Mohd Ali, ketika menaiki bot milik sendiri, berhampiran Pulau Merambong pada Jumaat.
Nur Syafiqah memberitahu menyedari mengenai kejadian sebaik tiba di jeti.
"Sebenarnya, saya pun turut ikut ke laut tapi menaiki bot lain bersama suami, tapi kami pulang kemudian sebab pergi melihat jala ke atas (lokasi), lagi.
"Saya dapat tahu pun pasal kemalangan yang berlaku bila sampai ke jeti," katanya.
Dalam kejadian kira-kira 8.15 pagi itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bapanya yang berusia 60 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, Jasni memberitahu bahawa dia tidak mendapati sebarang perubahan pada anak bongsu daripada empat beradik itu.
Menurut Jasni, aktiviti menjala tersebut sememangnya menjadi rutin harian bersama anaknya itu yang sudah tidak bersekolah lagi berikutan kekangan kewangan yang dialami ketika ini.
Bagaimanapun, dia tidak menyangka bahawa itulah kali terakhir dia melakukan aktiviti tersebut bersama mangsa.
"Masa tu, dia (Muhammad Zaihan) nak angkat jaring yang dah pasang sejak sebelum raya hari tu.
"Hujan taklah berapa lebat tapi tiba-tiba kilat 'kena' dia, saya pun kena juga tapi sikit dan tercampak ke belakang bot (sampan).
"Kemudian saya tengok anak saya rebah tidak sedarkan diri dan ada kesan melecur di kaki dia. Bot pecah (berlubang) tempat dia berdiri tu sebab kilat," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam (Tinggi), Kampung Ladang di sini selepas waktu Asar pada Jumaat.