STOCKHOLM - Seorang lelaki yang membakar naskah al-Quran di luar masjid utama Stockholm pada Rabu, telah mendapat kecaman awal daripada Turkiye yang ketika ini 'membekukan' tawaran Sweden menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Sebelum ini, polis Sweden dikatakan memberikan permit untuk penganjuran protes tersebut selaran dengan perlindungan kebebasan bersuara, namun telah membuka siasatan terdapat lelaki berasal dari Iraq dengan alasan pergolakan etnik sedang berlaku di negara tersebut.
Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan menggelar pembakaran halaman naskah kitab suci umat Islam itu sebagai perbuatan 'paling keji'.
"Ia tidak boleh diterima langsung untuk membenarkan tindakan anti-islam dengan alasan kebebasan bersuara," kata Hakan sambil menuduh Sweden bersubahat dalam tindakan tersebut.
Sebelum ini, Turkiye menyekat tawaran keanggotaan Sweden dalam NATO kerana kegagalan Stockholm menumpaskan dan mengambil tindakan terhadap pemberontak Kurdish selain insiden pembakaran al-Quran di luar kedutaan pada Januari lalu.
Difahamkan pertemuan dengan diplomat tertinggi NATO dijadualkan pada 6 Julai depan di ibu pejabat NATO di Brussels, Belgium bila mana rakan sejawatan mendesak Turkiye memberi lampu hijau kepada Sweden menganggotai pertubuhan itu semasa sidang kemuncak berlangsung di Lithuania pada 11 hingga 12 Julai depan.
Salwan Momika, 37, yang melarikan diri ke Sweden beberapa tahun lalu telah meminta kebenaran polis membakar kitab suci itu dengan alasan 'menyuarakan pendapat mengenai al-Quran'.
Semasa protes berlangsung, Salwan memberitahu agensi berita TT bahawa dia ingai menonjolkan 'kepentingan kebebasan bersuara'.
Wartawan AFP melaporkan di lokasi kejadian, Salwan pada mulanya mengoyakkan beberapa helaian al-Quran lalu mengelap kasutnya. Dia kemudian meletakkan hirisan daging babi sebelum membakar kitab suci serta menendang seperti bola sepak.
Salwan memberitahu media Sweden pada Khamis bahawa dia akan melakukan perkara sama dalam tempoh 10 hari akan datang. - AFP