JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mencongak langkah untuk berada kelompok tiga terbaik dalam semua kejohanan di peringkat Asia yang bakal disertainya pada tahun ini.
"Sasaran saya tahun ini mahu berada dalam kelompok tiga terbaik dalam kejohanan peringkat Asia. Ranking saya di Asia untuk senior (ketika ini) adalah keempat,” kata Azeem yang baru pulang ke tanah air dari Amerika Syarikat.
Iklan
Iklan
Pada Rabu lalu, Azeem yang juga pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Putrajaya.
Berdasarkan ranking acara 100m di peringkat Asia, Azeem berada di kedudukan kelima dengan catatan rekod kebangsaan 10.09 saat (s) yang dilakukannya ketika menyertai Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia pada Ogos tahun lalu.
Yupun Abeykoon dari Sri Lanka masih memegang status nombor satu Asia dengan catatan 9.96s, manakala Abdul Hakim Sani Brown (Jepun) di kedudukan kedua (9.98s) diikuti seorang lagi pelari Jepun, Ryuichiro Sakai (10.02s).
Tahun ini, Azeem memecahkan rekod kebangsaan dalam acara pecut 60m lelaki dalam dewan pada Terbuka Texas Tech 2023 T dan Tiger Paw Invitational, South Carolina dengan catatan 6.62s untuk memadamkan rekod miliknya 6.63s.
Azeem turut berjaya mencatatkan masa terpantas iaitu 10.04s pada Kejohanan Trek dan Balapan NCAA Divisyen 1 di Florida, namun rekod itu tidak diiktiraf kerana terdapat bantuan angin.