DUBAI - [DIKEMAS KINI] Umat Islam di seluruh dunia menyertai Arab Saudi yang mengecam pembakaran naskhah al-Quran oleh seorang warga Iraq di luar masjid utama Stockholm Rabu lalu, lapor Arab News.
Difahamkan ia bukan kali pertama berlaku di Sweden dan pada Januarih seorang pelampau sayap kiri parti politik telah membakar senaskhah al-Quran berhampiran kedutaan Turkiye di Stockholm yang sehingga mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson berkata, bantahan dilakukan Salwan Momika, 37, adalah 'sah tetapi tidak sesuai' dan terpulang kepada polis untuk membenarkannya atau sebaliknya.
Insiden berlaku ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidil Adha.
Kerajaan Iraq dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat hari Rabu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan berulang kali membakar naskhah suci al-Quran oleh individu yang mempunyai pemikiran ekstremis.
"Perbuatan ini menunjukkan semangat kebencian dan agresif yang bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara.
"Mereka bukan sahaja bersifat perkauman tetapi juga menggalakkan keganasan dan kebencian," katanya.
Tambahnya, Kementerian Luar Negara Iraq memanggil duta Sweden ke Baghdad dan mengutuk kerajaan tersebut memberi kebenaran keizinan kepada pelampau membakar salinan al-Quran.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berkata, mereka akan mengadakan mesyuarat tergempar untuk Jawatankuasa Eksekutif minggu depan di Jeddah untuk membincangkan akibat insiden itu, di bawah jemputan daripada Arab Saudi.
Selain itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan memanggil duta Sweden pada Khamis dan menyatakan pihaknya membantah pembakaran kitab suci itu dan menggelarnya sebagai 'hasutan dan perkauman'.
Kementerian Luar Negeri Kuwait berkata, pembakaran al-Quran akan menyinggung perasaan umat Islam di seluruh dunia dan menggesa orang ramai perlu mempromosikan nilai toleransi dan hidup bersama.
Maghribi tidak terkecuali mengutuk pembakaran al-Quran oleh lelaki Iraq itu dan memanggil semula dutanya ke Stockholm lewat Rabu. - Agensi