PEMAIN beregu lelaki negara, Man Wei Chong optimis gelaran Terbuka Taiwan 2023 baru-baru ini bersama gandingannya, Tee Kai Wun adalah penyuntik semangat bagi mereka untuk melakar kejayaan lebih besar dalam kejohanan peringkat lebih tinggi dalam masa terdekat.
Memandangkan mereka tidak pernah memenangi kejohanan Super 500 dan peringkat lebih tinggi sebelum ini, Wei Chong berkata, adalah penting bagi mereka untuk mengekalkan momentum agar terus menyinar dalam kejohanan gred lebih tinggi bermula Terbuka Korea 2023 (Super 500) dari 18-23 Julai.
"Selepas ini ada tiga kejohanan besar, Terbuka Korea, Terbuka Jepun 2023 (Super 750) dan Terbuka Australia 2023 (Super 500), kita belum ada kejayaan dalam kejohanan besar lagi.
"Kami harap dapat kekal momentum sekarang dan beraksi dengan cemerlang untuk kejohanan akan datang," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pada Jumaat.
Terbuka Jepun 2023 akan diadakan dari 25-30 Julai manakala Terbuka Australia 2023 akan berlangung 1-6 Ogos.
Pada perlawanan Ahad lepas, gandingan nombor 23 dunia, Wei Chong-Kai Wun terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pasangan tuan rumah, Lu Ching Yao-Yang Po Han, ranking ke-13 dunia, 20-22, 21-17, 21-14 untuk mempertahankan gelaran mereka dalam perlawanan final Super 300.
Gandingan muda itu hampir meraih gelaran sulung Super 500 mereka sebelum tewas di tangan pasangan Korea, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, 15-21, 24-22, 19-21 pada final Masters Malaysia 2023 bulan lepas.
Kini mereka mempunyai peluang untuk membalas dendam kekalahan mereka yang akan berdepan Min Hyuk-Seung Jae pada pusingan pembukaan Terbuka Korea 2023, Wei Chong berkata, mereka hanya perlu memastikan berada dalam prestasi terbaik untuk menumbangkan pasangan tuan rumah itu.
Dalam pada itu, pemain berusia 23 tahun dari Melaka itu berharap dapat melonjakkan ranking di kedudukan 10 atau 15 terbaik dunia menjelang akhir tahun ini.
"Kami perlu layak ke suku akhir atau separuh akhir dalam setiap kejohanan yang kami sertai (untuk memperbaiki kedudukan) tidak bagus jika kita hanya setakat pusingan pertama atau kedua," katanya. - Bernama