CHELSEA memulakan langkah memperkuatkan bahagian serangan apabila menandatangani Nicolas Jackson dari Villarreal.
Pemain Senegal itu menandatangani kontrak selama lapan tahun di Stamford Bridge.
Kemampuan penyerang itu bersama Villareal menarik minat Chelsea selepas meledak 12 gol dalam 26 perlawanan di La Liga musim lalu.
Chelsea agak sibuk dalam beberapa minggu pertama jendela perpindahan ketika mereka terpaksa melepaskan beberapa pemain bagi menepati peraturan kewangan selepas berbelanja lebih £500 juta (RM2.95 bilion) membeli pemain baharu musim lalu.
Kai Havertz menyeberang London untuk bersama Arsenal, Edouard Mendy dan Kalidou Koulibaly menyertai kebanjiran bintang dari Eropah ke Arab Saudi manakala Ruben Loftus-Cheek berpindah ke AC Milan semalam.
Satu perjanjian juga sudah dimuktamadkan antara Chelsea dan Manchester United bagi penjualan Mason Mount.
Bagaimanapun, mereka juga memperkukuhkan bahagian serangan yang tumpul ketika Jackson akan bersaing dengan pemain Perancis, Christopher Nkunku bagi peranan sebagai pemain No 9 pilihan utama Pochettino musim depan.
Chelsea mengakhiri kempen di tangga ke-12 Liga Perdana Inggeris musim lalu, kedudukan terburuk mereka sejak 1994.