15 tahun menanti, Mohd Saiful sebak timang cahaya mata pertama

Iklan
Mohd Saiful Azmi berswafoto bersama anaknya, Putri Edreehana Masyael Khan.

SHAH ALAM - Penantian seorang pemandu lori untuk mendapat zuriat selama 15 tahun berakhir selepas menimang cahaya mata pertama pada usia 43 tahun, Mei lalu.

Mohd Saiful Azmi Shamsudin Khan berkata, dia tidak menyangka bakal menerima hadiah yang bermakna itu dan berasa sangat bersyukur diberikan peluang setelah mendirikan rumah tangga buat kali kedua.

Iklan
Iklan

Video Mohd Saiful Azmi yang sebak saat pertama kali melihat dan mendukung anak sulungnya itu meraih perhatian serta meruntun hati netizen selepas dikongsi isterinya, Mastura Pin, 46, di TikToknya.

Bercerita lanjut, Mohd Saiful Azmi berkata, dia dimaklumkan oleh isterinya mengenai kandungan yang sudah berusia tiga bulan ketika sedang bekerja.

Iklan

"Saya menerima panggilan video daripada isteri memberitahu bahawa dia mengandung sambil menunjukkan skrin ultra bunyi ketika itu.

"Kami tidak pernah terfikir untuk mendapatkan anak disebabkan faktor umur dan hanya fokus untuk menjaga kesihatan masing-masing.

Iklan

"Saya dah berusia dan mempunyai tanggungjawab yang perlu dipikul, jadi isteri nasihatkan untuk menjaga kesihatan serta pemakanan sahaja supaya memudahkan saya mencari rezeki halal bagi menyara keluarga,” jelasnya.

Mohd Saiful Azmi berkata, dia ada minum jamu yang dibuat oleh isterinya dan ia hanya sebagai alternatif penjagaan kesihatan serta tiada niat lain.

"Saya rasa sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk merasai detik seperti ini dalam hidup," katanya.

Sementara itu, Mastura berkata, pada awalnya doktor tidak menyarankannya menyimpan kandungan kerana mendakwa risiko anak menjadi sindrom Down apabila lahir sangat tinggi.

Tambah Mastura, pada mulanya dia juga risau kerana hamil pada usia lewat tetapi yakin ia rezeki daripada ALLAH untuk suami yang sudah lama menanti zuriat.

"Kepada pasangan yang masih menanti zuriat saya nasihatkan supaya jangan berputus asa untuk berikhtiar dan sentiasa berdoa agar segala urusan dipermudahkan,” ujarnya.