KUALA LUMPUR - Kegembiraan jelas terpancar di wajah penghuni rumah pangsa Blok F Taman Keramat apabila mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini selepas bangunan itu disahkan selamat untuk diduduki oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Tinjauan mendapati penduduk sudah mula membawa barang kepunyaan mereka balik ke rumah dan melakukan kerja pembersihan.
Ketika ditemui, Azizah Ansari, 60, melahirkan rasa syukur kerana dapat pulang ke rumah setelah lebih seminggu tinggal di pusat pemindahan sementara, tambahan pula bulan Ramadan menjelang tiba.
"Alhamdulillah, rasa lega bila mak cik dengar khabar sudah selamat untuk diduduki. (Mak cik) duduk di sini bukan baru iaitu sejak tahun 2000,” katanya kepada Bernama.
Ismatu Rahim, 33, yang menjalankan perniagaan runcit di blok terbabit, bersyukur dapat menjalankan perniagaannya seperti biasa setelah seminggu menutup kedainya apabila diarahkan berpindah.
Beliau tidak berhenti-henti melafazkan kesyukuran dan berterima kasih kepada pelbagai pihak yang membantu kerana dapat kembali berniaga, yang merupakan punca pendapatan keluarganya.
"Kami amat seronok sekali dapat berniaga balik sebab punca pendapatan kami di sini (blok F)..terima kasih kepada pihak yang banyak membantu,” kata ibu tiga orang anak itu.
Naseri Abdul Rahim, 49, pula melahirkan kesyukuran kerana dapat menjalankan ibadah puasa pada bulan Ramadan dengan lebih tenang di rumah sendiri.
"Kalau masih di pusat pemindahan, rasanya agak sukar sikitlah untuk menjalani ibadah puasa dengan keadaan suasana serta anak-anak masih sekolah,” kata pengasuh kanak-kanak itu.
Pada 27 April lepas, lebih 200 orang penghuni rumah pangsa daripada 37 keluarga diarahkan pindah susulan keretakan di struktur bangunan itu yang dilaporkan semakin serius.
Pada mulanya, mereka dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Keramat, sebelum dipindahkan ke Dewan Serbaguna AU2 Taman Keramat.
Bangunan Blok F di Taman Keramat Permai itu disahkan selamat diduduki oleh dua juruperunding, iaitu Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan Z and A Consulting, yang dilantik oleh PKNS pada Khamis lepas.
Pada Khamis lepas, Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata keputusan itu dibuat hasil pengumpulan data dan penilaian perunding sejak Sabtu lepas hingga Rabu (1 Mei) yang mendapati tiada pergerakan tanah aktif yang boleh mengundang risiko.- Bernama