Projek percubaan lorong bas mula Isnin - Rapid Bus

Iklan
Projek percubaan lorong bas di Jalan Ampang dengan kerjasama Rapid Bus dan DBKL bermula Isnin.

KUALA LUMPUR - Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan bas Rapid KL dan bas perantara MRT, akan mula melaksanakan projek percubaan lorong bas di Jalan Ampang dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula Isnin.

Lorong bas tersebut akan bermula dari persimpangan Jalan Rhu sehingga ke persimpangan Jalan Tun Razak dan akan melibatkan 34 buah bas dari dua laluan, iaitu laluan 300 (Pandan Indah – Lebuh Ampang) dan laluan 303 (Taman Mulia Jaya – Lebuh Ampang).

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata, projek percubaan itu secara langsung diharapkan akan menjadi pemangkin bagi peralihan mod perjalanan, sekali gus membantu dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas kritikal di Jalan Ampang.

Menurutnya, lorong tersebut akan beroperasi pada waktu puncak iaitu dari jam 6 pagi sehingga jam 9 pagi, Isnin hingga Jumaat dan dijangka akan memberi manfaat kepada komuniti sekitar koridor Jalan Ampang ingin memasuki pusat bandaraya untuk bekerja.

Iklan

"Dengan adanya lorong bas ini, perkhidmatan bas Rapid KL akan lebih lancar dan boleh menjimatkan masa perjalanan sehingga 20 minit jika dibandingkan dengan menggunakan kenderaan awam.

"Perkhidmatan bas di Jalan Ampang ini, bukan sahaja membawa penumpang ke KLCC, namun menghubungkan para penumpang ke mod pengangkutan awam yang lain untuk ke destinasi akhir," katanya dalam kenyataan.

Iklan

Beliau menambah, perjalanan juga akan bertambah selesa dengan penggunaan bas dua tingkat yang baharu dan selesa serta dengan adanya kemudahan 'Park n Ride'.

"Kami ingin menggalakkan komuniti di Ampang untuk mencuba kemudahan yang disediakan ini agar pengangkutan awam dapat menjadi mod perjalanan utama mereka,” katanya lagi.

Yazurin turut menambah, kesesakan dapat dikurangkan sekiranya berlaku pertukaran mod dari kenderaan awam ke bas di mana sebuah bas dua tingkat boleh memuatkan seramai 110 penumpang bersamaan dengan lebih 50 buah kereta yang hanya boleh memuatkan seorang atau dua orang penumpang satu-satu masa.

Komuniti sekitar Ampang yang ingin menggunakan perkhidmatan bas boleh memanfaatkan kemudahan 'Park n Ride' di LRT Ampang, yang mengenakan kadar meletak kereta hanya RM4.30 sahaja sehari.

Perkhidmatan bas laluan 300 dan 303 yang akan membawa penumpang ke pusat bandaraya boleh didapati di hentian bas bersebelahan dengan LRT Ampang tersebut.

Perjalanan para penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas laluan 300 dan 303 ini tidak hanya terhad untuk ke destinasi di hentian-hentian bas ini sahaja.

Mereka boleh meneruskan perjalanan lebih jauh dengan kesalinghubungan yang boleh mereka nikmati.

Para pengguna boleh memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store bagi merancang perjalanan, aplikasi Google Maps untuk mengetahui lokasi bas serta layari laman web rasmi Rapid KL di https://myrapid.com.my untuk maklumat terkini.