Yakini Kerajaan Perpaduan, bantu jayakan agenda PM untuk rakyat

Iklan
Saraswathy (empat dari kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Agung Tahunan MIYC ke-28 Tahun 2023 di sebuah hotel di Indera Mahkota pada Sabtu.

KUANTAN - Kerajaan Perpaduan diyakini terus mendapat sokongan pengundi pada pilihan raya di enam negeri berdasarkan kewibawaan dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa perubahan kepada rakyat dan negara.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), K Saraswathy berkata, kerajaan telah memperlihatkan perubahan secara bersasar melalui usaha membasmi kemiskinan, menaik taraf kehidupan B40 kepada satu tahap lebih baik dan memberi peluang pekerjaan serta perniagaan lebih luas kepada rakyat.

"Kita harap pengundi dapat menerima dan memahami (menyokong) hasrat Kerajaan Madani untuk membangunkan kesemua negeri terutama Kelantan, Terengganu serta Kedah menjadi seperti Pulau Pinang dan Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Agung Tahunan Majlis Belia India Malaysia (MIYC) ke-28 Tahun 2023 di sebuah hotel di Indera Mahkota pada Sabtu.

Lebih 300 ahli MIYC di seluruh negara hadir dalam mesyuarat berkenaan.

Mengulas lanjut Saraswathy berkata, Kerajaan Perpaduan juga lebih mementingkan kebajikan rakyat terutamanya golongan miskin tegar dan belia.

Iklan
Iklan

"Kita harap rakyat boleh terima kewibawaan Perdana Menteri (Anwar) untuk membawa satu perubahan bukannya seperti (membina) bangunan-bangunan besar tetapi (menaik taraf kehidupan) masyarakat lapisan di bawah kerana itu adalah pembangunan yang sebenarnya.

"Itu yang diutarakan oleh Perdana Menteri di mana juga beliau pergi, dan saya sebagai Naib Presiden serta Timbalan Menteri (Pembangunan Usahawan dan Koperasi), kita ingin menjayakan hasrat PM untuk membantu lapisan masyarakat bawah dahulu," katanya.

Iklan
Iklan