BINTANG muda sensasi negara, Arif Aiman Hanapi tidak perlu memikirkan untuk berkelana ke luar negara kerana Johor Darul Ta'zim (JDT) masih pasukan terbaik untuknya berkembang menjadi seorang pemain yang berkualiti.
Legenda bola sepak negara, Safee Sali berkata, skuad Harimau Selatan itu merupakan kelab paling tepat untuknya mengembangkan karier sebagai pemain bola sepak.
Menurut Safee, beliau risau sekiranya Arif terlalu awal mengorak langkah berkelana ke luar negara, ia akan menjejaskan prestasi pemain berusia 21 tahun itu.
"Bagi saya Arif Aiman masih muda, umur baru 21 tahun. Masih jauh lagi perjalanan dan dia berada dalam pasukan yang sesuai buat masa sekarang.
"Saya risau bila dia pergi ke peringkat yang lebih tinggi dengan cepat, persembahan dia akan jatuh.
"Bagi dia masa lagi berada dalam JDT. Kalau dia pergi ke luar dengan umur 21 dan 22, saya takut persembahan dia tidak akan meningkat," katanya ketika ditemui media selepas Kongres FAM kali ke-59 pada Sabtu.
Arif Aiman terus mencipta sensasi apabila kelibatnya mencuri tumpuan dengan ledakan hatrik ketika membantu JDT menumbangkan Selangor FC 4-0 pada aksi separuh akhir Piala FA 2023, Isnin lalu.
Di pentas antarabangsa, pemain sayap itu turut menampilkan kualiti tersendiri meledak lima gol bersama skuad kebangsaan, termasuk empat gol ketika membantu skuad Harimau Malaya membelasah Papua New Guinea 10-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, minggu lalu.
Ia sekali gus meletakkan Arif Aiman dalam tahap yang berbeza dan peminat bola sepak negara mahu melihat pemain itu melebarkan sayap ke luar negara.
Dalam pada itu, Safee turut berpendapat Liga di negara Arab seperti Liga UAE mungkin boleh menjadi tempat sesuai buat Arif Aiman sekiranya membuat keputusan untuk mencari cabaran baharu.
"Kalau pergi terlalu tinggi macam Eropah, cabaran itu sangat jauh berbeza.
"Dalam masa sama banyak lagi dia kena tambah baik. Masih ada ruang dan masih jauh perjalanan dia," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: JDT bergaya ke final Piala FA 2023
Arif Aiman selesa merendah diri
Harimau Malaya ratah Papua New Guinea