KEMAMAN - Seramai 63 peserta program simulasi haji cilik bersemangat mengenakan ihram sepanjang mengikuti kursus yang diadakan di Masjid Geliga, Chukai di sini.
Program berlangsung bermula jam 8.30 pagi hingga jam 12 tengah hari pada 27 Jun lalu disertai oleh tiga buah taska di sekitar bandar Chukai.
Iklan
Iklan
Pengurus Besar AQ Travel & Tours Sdn Bhd, Wan Rosmadi Wan Embong berkata, program itu kali kedua diadakan sepanjang Jun bagi mengimarahkan kedatangan musim haji kali ini.
"Program seperti ini akan terus diadakan secara berkala kepada golongan sasaran iaitu pelajar tahfiz, taska dan seumpama untuk memberi pendedahan dari awal kepada mereka berkaitan ibadah haji dan umrah.
"Usaha ini juga bertujuan supaya golongan pelapis ini akan lebih memahami dan mendalami ibadah yang menjadi rukun Islam kelima ini bermula usia kanak-kanak,"katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Menurut Wan Rosmadi, kebanyakan peserta teruja dengan pendedahan baharu yang dipelajari sepanjang menyertai program berkenaan.
Ujarnya, kursus diadakan selama sehari itu dikendalikan Mutawwif Umrah AQ Travel & Tours Sdn Bhd, Mohd Firdaus Rezali.