Rakyat menanti formula 'bijaksana' pulihkan ringgit

Iklan
Menjadi harapan seluruh rakyat agar kerajaan dapat memulihkan ringgit segera.

ISU kejatuhan nilai ringgit Malaysia bukan sehari dua menjadi perdebatan ramai, sebaliknya ia telah diperkatakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pentadbiran kerajaan juga telah beberapa kali berganti, namun sehingga kini tiada tanda-tanda ringgit semakin pulih, tetapi ia dilihat terus merosot.

Iklan
Iklan

Keadaan tersebut pastinya menjadi peluru kepada rakyat untuk 'menembak' kerajaan memandangkan isu tersebut merupakan antara fokus utama mereka ketika menjadi pembangkang sebelum ini.

Suka atau tidak kerajaan perlu menerima hakikat nilai ringgit semakin jatuh dan memerlukan formula bijaksana bagi mengukuhkan nilai mata wang negara.

Iklan

Apa yang menjadi kebimbangan ketika ini adalah mengenai masa depan nilai ringgit dan kesannya kepada negara.

Kebimbangan ini berasas apabila laporan Reuters, berdasarkan rekod pada Jumaat mendedahkan ringgit mencatatkan penurunan hampir enam peratus pada separuh pertama 2023 sekali gus mendahului kejatuhan dalam kalangan mata wang negara Asia.

Iklan

Bukan itu sahaja, kedudukan ekuiti Malaysia juga adalah yang terburuk dalam pasaran campuran, berada dalam kumpulan sama, Thailand.

Laporan itu turut menyebut, kebanyakan mata wang Asia pulih daripada kerugian awal, dengan peso Filipina dan baht Thailand mendahului peningkatan apabila masing-masing mencatatkan kenaikan 0.4 peratus.

Bayangkan nilai mata wang negara serantau semakin pulih, sedangkan Malaysia masih belum ada peningkatan positif.

Melihat kepada perkembangan terbaharu ini, tahap kebimbangan rakyat terhadap nilai ringgit juga semakin memuncak.

Justeru, adalah menjadi harapan seluruh rakyat untuk melihat tindakan segera kerajaan untuk memulihkan ringgit.

Paling utama, rakyat ingin melihat formula bijaksana ditampilkan, bukan semata-mata bercakap mengenai perancangan.

Sandaran kini pastinya terletak di bahu kerajaan untuk mencipta formula berkesan pulihkan ringgit selari dengan apa yang diungkapkan sebelum ini.