Keadaan Abdul Hadi semakin baik, dipindah ke wad biasa

Iklan
ABDUL HADI

KOTA BHARU - [KEMAS KINI] Keadaan kesihatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semakin stabil pada Ahad.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu sudah dipindahkan ke wad biasa berbanding Unit Rawatan Koronari (CCU) sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Beliau bagaimanapun masih lagi dalam rawatan dan pemerhatian doktor,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Menurut Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan itu, tiada sebarang lawatan ziarah dilakukan kerana memberi ruang Abdul Hadi untuk pulih.

Iklan

"Semua tidak melawat, biarlah beliau rehat betul-betul dan kita doakan semoga beliau cepat sembuh,” ujarnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, beberapa program membabitkan Abdul Hadi terpaksa ditangguhkan sementara kerana keadaan kesihatannya yang merosot sebelum Aidiladha lalu.

Iklan

Program terakhir dihadiri beliau yang juga bekas Menteri Besar Terengganu itu ketika merasmikan jentera Pilihan Raya Dewan Pemuda (DPP) Pas negeri yang diadakan di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang, Rabu lalu.

Difahamkan pada program itu, Abdul Hadi sudah kelihatan kurang sihat dan uzur walaupun sempat berucap merasmikan pelancaran jentera pilihan raya DPP negeri.

Sebelum itu, anak sulung Abdul Hadi, Muhammad Khalil melalui laman Facebook memaklumkan bapanya dimasukkan ke hospital pada Khamis.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional, pernah dimasukkan ke Hospital Putrajaya dipercayai akibat sesak nafas pada Februari lalu sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara untuk rawatan lanjut.

Muhammad Khalil bagaimanapun, tidak mendedahkan nama hospital lokasi Abdul Hadi kini menerima rawatan dipercayai mengelakkan lawatan orang ramai.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman turut berkongsi mengenai kesihatan Abdul Hadi yang semakin baik, telah pulih dan berada dalam pemantauan.

Mohd Syahir yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden Pas itu berkongsikan perkembangan terbaharu Abdul Hadi menerusi hantaran di laman Instagram miliknya.

Menurutnya, Abdul Hadi juga menghabiskan masanya dengan menulis, membaca serta berbincang hal-hal semasa.

"Alhamdulillah keadaan Tuan Guru makin baik, sudah pulih dan dalam pemantauan. Masa terluang diisi dengan membaca dan menulis (Tuan Guru sedang siapkan dua artikel baharu), juga berbincang hal-hal semasa.

"Tuan Guru berkirim salam kepada semua. Terima kasih atas doa dan ingatan,” katanya dalam perkongsian pada Ahad.

Pada Jumaat, kuliah pagi di Masjid Rusila, Marang yang biasanya disampaikan oleh Abdul Hadi digantikan dengan anaknya, Muhammad Khalil.

Muhammad Khalil menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Sabtu memaklumkan bahawa Abdul Hadi dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan dan pemantauan ekoran tahap kesihatannya yang sedikit merosot sebelum Aidiladha.