PENGENDALI skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mahu kesemua pemain memberikan fokus ketika berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC), pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Isnin.
Menurutnya, kebangkitan skuad The City Boys itu ketika ini wajar diberikan perhatian serius oleh skuad Harimau Selatan itu, jika tidak mahu berputih mata di gelanggang sendiri.
"Bagi saya, KL City FC merupakan pasukan berbeza ketika ini. Pasukan kali ini lebih mantap dan lebih bersemangat.
"Pemain mereka juga dilihat sentiasa bersemangat dan berkeyakinan terutamanya apabila menentang pasukan-pasukan handalan... contohnya, mereka menewaskan Terengganu (FC), di Terengganu (Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin) di mana kita sendiri berdepan kesukaran beraksi di situ.
Untuk rekod, JDT menewaskan KL City FC, 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, 1 Mac lalu.
Tambah menarik, kedua-dua pasukan ini bakal berentap pada aksi final Piala FA 2023 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, pada 22 Julai ini.
Mengulas mengenai aksi berkenaan yang disifatkan sebagai pra final Piala FA 2023 kelak, Solari berkata, perkara berkenaan diharap tidak mengganggu konsentrasi pemain ketika ini.
"Ya, ramai yang mengatakan perlawanan ini sebagai aksi ‘pra-final’ Piala FA 2023 nanti.
"Namun, walau apa pun keadaannya, kita tetap perlu bersedia untuk mengharungi perlawanan ini,” katanya.