SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Laporan polis dan siasatan segera perlu dilakukan bagi mengenal pasti individu yang terlibat sebagai ‘geng penyakau’ jika mahu prinsip melawan rasuah dan salah guna kuasa dipertahankan.
Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (Aswa), Wan Azliana Wan Adnan berkata, laporan itu penting bagi menunjukkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serius dalam menangani kes berkenaan dan memastikan tindakan lanjut dapat dilaksanakan.
Menurutnya, ugutan merupakan satu jenayah tetapi jika tiada tindakan yang diambil maka sampai bila-bila pun isu sebegini tidak dapat diselesaikan.
"Kalau Perdana Menteri tahu ada perbuatan rasuah kemudian diugut, jadi beliau sepatutnya buat laporan polis. Kalau tak, siasatan tidak boleh dijalankan.
"Menerusi ucapan beliau pada Jumaat lalu seolah memfokuskan ‘geng penyakau besar’ yang terlibat adalah orang Melayu.
"Jadi ini adalah satu tuduhan serius dan boleh dikatakan sebagai hasutan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau berkata, ia kenyataan yang boleh menimbulkan spekulasi dan perkara sedemikian perlu diselesaikan segera bukan sekadar retorik sahaja.
Tambah Wan Azliana, pihak berwajib pula khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat sehingga ke akar umbi jika betul berlakunya rasuah dan salah guna kuasa.
"Kalau betul ada ‘geng penyakau besar’ yang melakukan perbuatan rasuah, kita mahu semua dikenakan tindakan dan siasatan seterusnya didakwa jika ada bukti.
"Jika tidak dibanteras, isu ini tak akan habis sehingga negara menukar pemimpin dan mungkin akan menyatakan prinsip yang sama kemudian diugut. Jadi inilah masanya untuk hapuskan ‘geng’ ini tanpa mengira bangsa,” jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Geng penyakau' besar gerun dengan kemaraan PM banteras rasuah
Anwar dakwa terima ugutan daripada 'geng penyakau besar'
Rakyat ukur prestasi PM perangi rasuah