Prabudass baharui rekod separuh maraton di Australia

Iklan
Prabudass mencatat masa 1:06.53s pada perlumbaan sejauh 21.0975km dalam saingan Gold Coast Marathon di Queensland pada Sabtu. Foto Facebook Prabudass Krishnan

PELARI jarak jauh negara, K. Prabudass memperbaharui rekod separuh maraton kebangsaan miliknya selepas kembali semula ke acara Gold Coast Marathon di Queensland, Australia pada Sabtu.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan berusia 33 tahun itu mencatat masa satu jam enam minit dan 53 saat (1:06.53s) pada perlumbaan sejauh 21.0975 kilometer (km) untuk menduduki tempat ke-17.

Iklan
Iklan

Sebelum itu, Prabudass memadamkan rekod kebangsaan selama 17 tahun dengan catatan 1:07.59s yang dipegang bekas pelari kebangsaan, M. Arul Thevar pada 4 Julai, 2004.

Beliau merekodkan catatan 1:07.29s pada Gold Coast Marathon pada 2019.

Iklan

"Ia merupakan satu kepulangan yang hebat ke Gold Coast selepas empat tahun untuk melakukan ini semula. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang atas sokongan berterusan yang membawa kepada pencapaian ini," katanya menerusi catatan di laman Facebooknya.

Menurut laman web rasmi perlumbaan, www.goldcoastmarathon.com.au, pelari pilihan tuan rumah, Brett Robinson berjaya mempertahankan kejuaraan dengan catatan masa 1:02.16s diikuti pelari Jepun, Keijiro Mogi (1:02.20s)dan Cameron Avery dari New Zealand dengan masa 1:02.50s.

Iklan

Sementara itu, acara wanita menyaksikan wakili Amerika Syarikat, Keira D'Amato mengatasi rekod kejohanan berusia 13 tahun dan juga rekod kebangsaan Amerika Syarikat dengan catatan 1:06.39s.

Rekod sebelum ini dicipta oleh pelari Australia, Lisa Weightman dengan masa 1:09.00s.

Pelari Australia, Leanne Pompeani dan Ellie Pashley masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dengan catatan 1:09.07s dan 1:09.25s. - Bernama