PERIBAHASA Melayu ada menyebut ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Begitulah boleh diibaratkan dengan remaja terpantas dunia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi.
Mendapat jolokan 'Usain Bolt' Malaysia remaja berumur 15 tahun dari Teluk Intan itu dilahirkan dalam keluarga yang sememangnya meminati sukan. Malah, ayahnya Mohd Fahmi Tajuid, 50, yang kini bertugas sebagai penyelia kokurikulum Pejabat Pendidikan Daerah Bagan Datuk adalah bekas atlet olahraga dalam acara lari berpagar pada tahun 80-an.
Tidak menyangka namanya akan menjadi sebutan, Muhammad Azeem menanam impian untuk menghadiahkan Malaysia pingat emas bagi acara 100 dan 200 meter (m) pada Sukan Olimpik, satu hari nanti sejak mewakili daerah Hilir Perak di peringkat Majlis Sukan Sekolah Perak (MSSPK) empat tahun lepas.
"Dari dahulu saya selalu ikut ayah saya turun padang dan berlatih. Sehingga kini saya berlatih lima hari seminggu untuk tujuh sesi latihan selama dua jam bagi satu sesi," katanya kepada Bernama.
Minggu lepas, Muhammad Azeem diiktiraf sebagai remaja terpantas di dunia untuk peringkat umur bawah 16 tahun (B-16) dalam acara 200 meter (m) menerusi catatan 21.24 saat yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia di Johor.
Mengulas lanjut, anak keempat dari lima adik-beradik ini berkata, walaupun pernah mengalami kecederaan hamstring, namun ia tidak pernah mengikis semangatnya untuk menjadi pelari terbaik negara.
"Selain berjaya dalam bidang sukan saya mahu berjaya dalam bidang akademik dan cita-cita saya adalah menjadi guru," katanya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat di sini itu mengulangi pendirian untuk menyelesaikan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) terlebih dahulu sebelum memikirkan sebarang perancangan masa hadapan.
Menjadikan atlet Kanada, Andre Degrase sebagai idola, anak jati Teluk Intan itu tidak mahu kejayaan yang baru dilakar menyebabkannya terbuai-buai dan lalai.
Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kementerian menawarkan tiga pilihan kepada Muhammad Azeem sama ada mahu menjalani latihan di luar negara, berpindah ke Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil atau kekal di Perak bagi mengasah lagi bakat remaja itu.
Dalam pada itu, jurulatih Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah berkata, beliau yang membimbing Muhammad Azeem sejak tiga tahun lepas hanya mengimpikan yang terbaik buat remaja istimewa itu.
"Sebagai seorang jurulatih saya mahukan yang terbaik buat anak didik saya dan harapan saya adalah untuk terus mencungkil lebih ramai atlet berbakat serta melahirkan atlet yang berilmu.
Muhammad Amir Izwan Tan, 50, guru di sekolah Muhammad Azeem adalah jurulatih MSSPK selama 17 tahun.
Selain Muhammad Azeem, Muhammad Amir Izwan Tan turut membimbing Mohd Irfan Izzan Mohd Fetry atlet remaja yang berjaya merangkul emas dalam acara 110 m lari berpagar di Asian Youth Athletics Championships 2019, Mac lepas. - Bernama