Hidup daif, anak tak bersekolah

Iklan
Nor Azima bersama anak-anak duduk di rumah ibu saudara yang dalam keadaan uzur tanpa dikenakan sewa.

GOMBAK - Kedaifan hidup dan ketiadaan sijil kelahiran antara punca tiga beradik di Kampung Changkat di sini tidak bersekolah.

Ibunya, Nor Azima Abd Razak, 44, berkata, dua anaknya, Azwani Idayu Abdullah,13, dan Ahmad Ridwan Abdullah,11, tidak mempunyai sijil lahir dan tidak pernah bersekolah.

Nor Azima

Iklan
Iklan

Menurutnya, hanya anak sulungnya, Ahmad Firdaus Abdullah, 15, mempunyai sijil kelahiran kerana lahir di hospital awam, namun belajar sehingga Tahun 6 sahaja.

"Saya tidak daftarkan Azwani dan Ridwan kerana mereka lahir di rumah, saya bimbang hilang hak penjagaan seperti dimaklumkan rakan-rakan. Saya jadi takut kerana saya sayang anak-anak saya.

Iklan

"Pernah juga saya minta bantuan dari pihak luar untuk uruskan sijil lahir mereka tapi ditipu sehingga kerugian RM2,000," katanya ketika menerima lawatan dari Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), baru-baru ini.

Dia sendiri pernah ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk uruskan hal sama namun berdepan masalah dokumen tidak lengkap disebabkan tidak mendaftarkan pernikahan dalam negara.

Keadaan dapur rumah keluarga itu.

Iklan

"Saya bernikah dengan bukan warganegara di Indonesia. Saya terputus hubungan dengan bekas suami sejak 2008 selepas dia pulang ke kampung kerana menjaga ibu sakit dan sejak itu tidak pernah berjumpanya.

"Saya besarkan sendiri anak-anak dengan tinggal di rumah ibu saudara dan menampung hidup dengan bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan RM1,100 sebulan," katanya.

Jelasnya lagi, dia kini meneruskan usaha permohonan pendaftaran kelahiran dua anaknya itu yang sedang dalam fasa melengkapkan borang pendaftaran sebelum dihantar ke JPN.

Dalam pada itu, walaupun mempunyai tempat berteduh namun rumah tersebut dalam keadaan uzur dengan atap bocor dan dimasuki air setiap kali hujan.

"Anak sulung ada dokumen diri tetapi tidak sambung sekolah ke menengah kerana tidak mahu bersekolah mungkin faham saya tidak mampu.

"Saya memang bekerja tetapi keadaan saya sendiri kurang sihat kerana paru-paru dijangkiti kuman dan bergantung dengan ubat serta menjalani rawatan berkala di Hospital Kuala Lumpur," katanya.

Masalah Nor Azima mendapat perhatian YBK yang membantu membaik pulih rumah diduduki keluarga tersebut dengan penggantian bumbung dan pemasangan sistem pendawaian dilakukan secara gotong-royong.

Rumah Nor Azima di baik pulih hasil sumbangan YBK dan gotong-royong bersama penduduk kampung.

Sementara itu, Ketua Divisyen Komunikasi Korporat Lembaga Zakat Selangor (LZS), Datin Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, pegawai LZS telah melakukan ziarah dan siasatan ke atas keluarga Nor Azima yang layak menerima bantuan di bawah keluarga asnaf.

"Keluarga ini akan dibantu daripada segi sokongan kewangan bulanan, bantuan pendidikan dan Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Nor Azima juga difahamkan mengambil keputusan untuk terus menetap di rumah tersebut kerana bimbang tambahan kos sara hidup.

"Rumah diduduki sekarang milik ibu saudaranya yang dibenarkan duduk tanpa sebarang sewa. Rumah itu juga sedang dibaik pulih dan dijangka siap minggu hadapan.

"Keluarga berkenaan tidak mahu berpindah ke rumah sewa kerana risau kos lain. Bagaimanapun sekiranya merekq ingin berpindah ke rumah sewa, pihak LZS akan membantu," katanya.