PRN: PM, TPM muktamad agihan kerusi di Selangor - Amirudin

Iklan
Amirudin ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Taman Tema Air Splash Mania di Gamuda Cove pada Ahad.

BANTING - Pakatan Harapan (PH) Selangor sudah memuktamadkan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengerusinya, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun memberi bayangan perubahan dalam soal pengagihan kerusi di antara PH dan Barisan Nasional (BN) negeri itu masih boleh berlaku.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan akhir bergantung kepada perbincangan dua pemimpin tertinggi parti iaitu Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Kamu perlu tanya Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kerana sekarang (keputusan) di tangannya (mereka).

Iklan

"Ya (pengagihan kerusi) di Selangor sudah selesai dibincangkan, selesai bagi kami tetapi yang di Pusat mereka akan bincangkan," katanya juga merupakan Menteri Besar Selangor.

Amirudin (tengah) diberi taklimat ringkas sebelum dibawa melawat tema tema air berkenaan.

Amirudin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Taman Tema Air Splash Mania di Gamuda Cove di Banting di sini pada Ahad.

Iklan

Pada Jumaat, Amirudin dilaporkan berkata, perbincangan bagi agihan kerusi antara PH dan BN bagi PRN Selangor dijangka selesai dalam tempoh seminggu lagi.

Menteri Besar Selangor itu berkata, beberapa siri perbincangan telah diadakan antara Anwar dengan Ahmad Zahid, dan diharapkan penyelesaian bagi perkara berkenaan dapat dicapai tidak lama lagi.

Selangor antara enam negeri yang akan menghadapi PRN tidak lama lagi selain Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH bertanding menggunakan logo PKR menang 51 daripada 56 kerusi DUN, diikuti BN dan Pas masing-masing mendapat empat dan satu kerusi.