Angin kencang landa negara: APM siap sedia risiko bencana

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Seramai 427 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan negeri-negeri di utara Semenanjung dijangka mengalami angin baratan yang berpotensi menghasilkan ribut petir beserta hujan lebat dan angin kencang.

Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed berkata, bagi berdepan cuaca itu yang dijangka berlaku sehingga Rabu ini, para petugas akan digerakkan setiap hari bagi memantau lokasi titik panas (hotspot) dan kawasan yang mungkin berlaku runtuhan, kenaikan air dan sebagainya.

Iklan
Iklan

"Saya merancang untuk minta mereka melihat kemungkinan pokok tumbang disebabkan angin kencang. Sekiranya ada kita akan maklumkan kepada pihak berkenaan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan,” katanya kepada Bernama.

MetMalaysia, menerusi kenyataan yang dikeluarkan 9 pagi Sabtu, memaklumkan keadaan tersebut sehingga Rabu ini turut termasuk Kelantan dan Terengganu.

Iklan

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pihaknya turut mengambil langkah bersiap siaga termasuk membuat persediaan lebih rapi dengan melakukan rondaan lebih kerap terutama di kawasan pantai yang dijangka berlaku luruhan angin.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata, pihaknya sentiasa bersedia 24 jam dan melakukan pemantauan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti berpotensi dilanda bencana, selain turut sentiasa melakukan semakan dengan MetMalaysia berhubung situasi semasa keadaan cuaca seluruh negara.

Iklan

"JBPM akan melakukan rondaan melalui Safety Water and Rescue Team (SWART) di sebelah Pantai Timur untuk memastikan dan memberikan ingatan kepada orang ramai agar tidak mengunjungi kawasan pantai dan melakukan apa jua aktiviti termasuk bermandi-manda manakala masyarakat nelayan tidak turun ke laut,” katanya.

Berdasarkan tinjauan Bernama di negeri-negeri terlibat, ramai yang sedar dengan perubahan cuaca dan telah membuat persediaan dengan sendiri.

Di KEDAH, sedar dengan keadaan cuaca hujan dan angin kencang yang berlaku sejak beberapa hari lalu, Mazlan Abu Bakar, 61, dari Kampung Alor Serdang, Alor Setar mengambil keputusan membatalkan hasrat keluar memancing di Kuala Sala, dekat Kuala Kedah kerana bimbang dengan keselamatan.

"Setiap hari saya buka laman media sosial MetMalaysia untuk lihat ramalan cuaca...difahamkan keadaan hujan lebat dan angin kencang ini akan berterusan lagi beberapa hari, jadi kami buat keputusan untuk batalkan perjalanan memancing yang sudah dirancang sejak lebih seminggu lalu,” katanya kepada Bernama.

Di KELANTAN, kebanyakan penduduk di sekitar jajahan Pasir Puteh mengambil pendekatan menebang pokok yang hampir dengan kediaman sebagai persiapan menghadapi kejadian ribut petir, sejak seminggu lepas.

Antaranya, penduduk Kampung Bukit Abal, Azman Ismail, 36, berkata, kerja-kerja menebang itu dilakukan bagi mengelak pokok menghempap kediaman apabila berlaku ribut.

Di TERENGGANU, seorang nelayan dari Kampung Pangkalan Maras, Nik Mohd Hasni Chik, 54, berkata, sebagai penduduk di kawasan pinggir pantai, dia sentiasa peka dan mengikuti perkembangan cuaca di laman web Met Malaysia.

"Walaupun musim tengkujuh sudah berlalu, kami kena sentiasa peka dengan amaran cuaca. Tetapi kami tetap akan ke laut pada sebelah pagi dan pulang tengah hari, tidak ada masalah kerana amaran itu pada sebelah petang," katanya.

Di PULAU PINANG, seorang penduduk di Kampung Kijang Bukit Mertajam, R. Emily, 64, berkata, beliau sedar dengan perubahan cuaca dan akan membuat persiapan diperlukan bagi menghadapi sebarang kemungkinan memandangkan beliau tinggal di kawasan yang selalu berlakunya banjir.

"Sekarang saya sudah tahu pasal ini dan saya akan membuat persediaan dan persiapan yang diperlukan. Pertama sekali, saya akan meletakkan dokumen-dokumen penting di tempat yang selamat," katanya. - Bernama.