SHAH ALAM - Penggunaan kamera badan dalam kalangan anggota dan pegawai Jabatan Imigresen perlu dilaksanakan segera bagi mengukuhkan lagi integriti pasukan penguat kuasa berkenaan.
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berkata, melalui penggunaan teknologi berkenaan, ia juga memudahkan pengumpulan bahan bukti sekiranya berlaku sebarang insiden tidak diingini.
Ujarnya, dakwaan berlakunya ketirisan dan amalan rasuah membabitkan anggota dan pegawai jabatan itu juga merupakan perkara serius serta perlu ditangani segera bagi mengelakkan ia terus membarah.
"Penambahbaikan sistem imigresen dan proses pengawasan diperlukan. Proses ini perlu dipermudahkan dengan cara yang tidak mengorbankan keamanan dan kedaulatan negara.
"Sistem pemantauan dan pengawasan yang lebih efektif perlu diwujudkan untuk memantau aktiviti imigresen dan mengesan individu yang terlibat dalam kegiatan yang tidak sah.
"Keselamatan negara dan integriti institusi imigresen adalah perkara yang tidak boleh dikompromikan. Langkah-langkah tegas dan terancang perlu diambil untuk mengatasi lambakan warga asing dan pendatang haram serta memerangi rasuah dalam jabatan ini demi keamanan dan kedaulatan negara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pada Khamis, tular insiden kekecohan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila seorang individu dipercayai menteri difahamkan cuba 'menyelamatkan' seorang individu warga China yang ditahan.
Menurut sumber, individu warga China itu ditahan oleh pihak berkuasa sebaik sahaja tiba masuk ke negara ini.
Sementara itu, MCW dalam masa sama turut mendakwa, lambakan warga asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia berpunca daripada amalan rasuah membabitkan agensi penguatkuasaan berkenaan.
Justeru katanya, langkah dan tindakan segera perlu diambil bagi mengekang kegiatan tidak sihat itu daripada terus menular kerana dibimbangi memberi kesan kepada keselamatan serta kedaulatan negara.
"Rasuah dalam agensi penguatkuasaan boleh memberikan peluang kepada warga asing untuk memasuki negara secara haram atau memperoleh dokumen dengan cara yang tidak sah," katanya.