ALOR SETAR - Sokongan pengundi muda yang dikatakan lebih memihak kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas tidak boleh disamakan dengan situasi semasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, golongan muda serta pertengahan khususnya di negeri itu sudah dapat melihat peluang untuk mereka melakukan perubahan.
"Apa yang berlaku pada November 2022 (dalam PRU15) lalu waktu itu suasananya sangat berbeza dengan tujuh bulan kemudian, sebab pada waktu itu kerajaan tidak ditubuhkan di Putrajaya.
"Semua orang (parti politik) berkejar untuk menubuhkan kerajaan di Putrajaya, tapi sekarang kita dah tubuhkan kerajaan di Putrajaya, kerajaan BN, Pakatan Harapan (PH) dah ada di Putrajaya," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pimpinan BN dan PH di sini pada Ahad.
Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini, yang mendakwa PH tidak mendapat sokongan anak muda sebaliknya sokongan golongan itu kini telah beralih kepada PN.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan yang kini memasuki tujuh bulan telah membuka mata rakyat termasuk golongan muda supaya tidak membuat keputusan yang sama seperti PRU lepas kerana ia tidak akan memberi manfaat kepada mereka.
Dalam pada itu, Mahdzir turut menepis andaian bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan program bertemu dengan pelajar universiti semata-mata untuk menarik sokongan golongan muda.
Menurut Mahdzir, sebagai Perdana Menteri, Anwar mempunyai tugas dan tanggungjawab yang lebih besar iaitu menjelaskan mengenai polisi kerajaan dan pembinaan negara bukan hanya ingin menarik sokongan semata-mata. - Bernama.