SHAH ALAM - Tindakan seorang pengguna Twitter yang memuat naik doa mengharapkan kematian Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dianggap sebagai tidak beradab dan mempunyai akhlak Islam yang baik.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun terdapat perbezaan pandangan dari segi politik namun isu berkaitan sakit dan kematian tidak sepatutnya dijadikan alat untuk menunjukkan kebencian.
"Individu itu perlu mendalami akhlak Islam dan memahami bahawa sakit ini akan dialami oleh setiap manusia.
"Perkara ini tidak boleh dibuat bahan, orang bukan Islam pun kutuk tindakan dia kerana tidak mencerminkan akhlak yang baik," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Tuan Ibrahim, jika seseorang tidak mampu mengawal emosi dan tindakan hingga sanggup mendoakan keburukan kepada orang lain maka dia tidak layak untuk menjadi pemimpin politik.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Abdul Hadi dibenarkan keluar hospital, hari ini dan telah pulang ke kediamannya.
Pada Sabtu, tular ciapan dibuat pengguna Twitter tersebut yang didakwa pembantu kepada setiausaha politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
ARTIKEL BERKAITAN:Abdul Hadi dibenar keluar hospital, ucap terima kasih atas doa
Keadaan Abdul Hadi semakin baik, dipindah ke wad biasa
'Adab harus dijaga' - Amirudin
Anak Jamal Abdillah, Zaki Yamani terkena tempias
Anwar arah Zaki Yamani mohon maaf