Tuduhan pembangkang hanya 'umpan' PRN - AMK Selangor

Iklan
Mohd Fauzi

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menyelar beberapa tuduhan dilemparkan seorang pemimpin sebuah parti pembangkang terhadap kerajaan negeri ini dan menyifatkan ia hanya sebagai 'umpan' menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalan Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd Fauzi Fadzil berkata, pengundi perlu berfikiran waras dalam membuat penilaian bagi menentukan pemerintahan sedia ada kekal untuk penggal seterusnya.

Iklan
Iklan

"Cuba bandingkan pemerintahan negeri Selangor berbanding pemerintahan negeri dikuasai oleh parti lawan, adakah berbaloi menukar kerajaan negeri ini yang ternyata cemerlang dalam pemerintahan sekarang?" katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini seorang pemimpin parti pembangkang mengeluarkan beberapa dakwaan terhadap kerajaan Selangor dalam sebuah wawancara bersama sebuah portal berita pembangkang pada 27 Jun lalu.

Iklan

Mohd Fauzi berkata, segala tuduhan itu telah dijawab oleh kepimpinan kerajaan negeri Selangor secara berasingan sebelum ini, namun ia perlu diperjelaskan semula kepada pengundi menjelang PRN yang bakal tiba tidak lama lagi.

Ujar beliau, tuduhan utama yang dibangkitkan adalah berkenaan urusan pendaftaran Sekolah Agama Persendirian (SAP) yang tergendala bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).

Iklan

Bagaimanapun, jelas beliau, isu dibangkitkan itu sudah dijawab oleh Exco Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

"Kerajaan Selangor telah mengambil langkah proaktif dengan mencadangkan garis panduan lebih mudah supaya SAP di negeri ini dapat beroperasi," jelas beliau.

Katanya, usaha membangunkan garis panduan itu melibatkan Persatuan Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS) dan situasi itu membuktikan keterbukaan kerajaan negeri Selangor dalam menyelesaikan isu tersebut.

Selain itu, katanya, isu lain dibangkitkan pemimpin berkenaan adalah berkaitan pengurusan PBT mengenai kilang haram dan sampah di negeri Selangor.

Katanya, perkara dibangkitkan itu juga telah dijawab Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bahawa masalah tersebut telah dapat ditangani menjelang tahun 2022 melalui pindaan terhadap Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan pindaan terhadap Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

"Pindaan terhadap Akta 665 telah meningkatkan jumlah denda sehingga RM10 juta, manakala Enakmen LUAS pula meningkatkan denda maksimum sebanyak RM1 juta," tegasnya.

Ujar beliau, hasil positif melalui pindaan undang-undang itu dapat dilihat apabila insiden pencemaran air di Selangor menunjukkan pengurangan dengan hanya dua insiden dikesan pada 2022 berbanding sembilan kes pada 2020.

Katanya, kerajaan negeri juga bercadang melantik KDEB Waste Management (KDEBWM) untuk menguruskan sisa industri jika isu pembuangan di tapak pelupusan haram tidak selesai.

"Tindakan berkenaan adalah langkah sementara bagi memastikan isu sampah dapat diselesaikan dalam jangka masa pendek.

"Usaha kerajaan negeri Selangor untuk jangka masa panjang dalam menangani masalah sampah adalah dengan memeriksa dokumen pengesahan pembuangan sampah secara berkala sebelum memperbaharui lesen panel yang dilantik pihak industri," jelas beliau.

Mohd Fauzi berkata, pemimpin terbabit turut membangkitkan isu berkaitan integriti kerajaan negeri Selangor dalam meluluskan projek tanpa tender melibatkan Gerbang Maritim Selangor (SMG) dan Stadium Shah Alam.

Jelas beliau, tidak timbul isu pelanggaran integriti dalam pengurusan kedua-dua projek berkenaan kerana SMG telah dipantau oleh sebuah jawatankuasa khas yang diketuai oleh bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Datuk Roslan Abdul Aziz.

"Pembangunan semula Stadium Shah Alam pula telah mendapat kebenaran daripada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

"Jika terdapat pelanggaran undang-undang maka pemimpin tersebut dialu-alukan untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," tambahnya.