KLUANG - Keluarga pasangan suami isteri, Lim Siew Guan, 83, dan Eng Kuai Sin @ Ng Chuan Sing, 84, yang maut setelah menikmati hidangan ikan buntal di rumah mereka, Mac lalu, menggesa agar laporan siasatan (toksikologi) berhubung kematian kedua-dua warga emas itu disiapkan segera dan dimaklumkan kepada mereka.
Menurut anak perempuan pasangan warga emas berkenaan, Ng Ai Lee, 51, sejak insiden itu, pihak keluarga masih belum menerima sebarang laporan.
Malah katanya, apa yang menyedihkan pihak yang bertanggungjawab iaitu penjual ikan tersebut masih 'bebas' dan jualan ikan buntal masih berterusan khususnya di Kota Kinabalu.
"Kami telah cuba meminta laporan toksikologi tetapi ia dinafikan dengan alasan ia (laporan), mesti diluluskan oleh penasihat undang-undang.
"Kami tidak faham, mengapa kami dinafikan hak untuk mengetahui fakta kematian mereka?" katanya dalam satu sidang akhbar di Kampung Chamek di sini, pada Ahad.
Difahamkan, mendiang memperoleh bekalan ikan buntal berkenaan daripada jualan secara dalam talian melalui Facebook.
Tambah Ai Lee, pihaknya juga kecewa dengan perkembangan siasatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang.
"Mereka berjanji untuk mengemas kini maklumat dan menghubungi kami bagi menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara ini.
"Bagaimanapun, sehingga kini tidak ada satu mesej pun yang diterima daripada mereka," katanya.
Sementara itu, Ai Lee berkata, pihaknya pernah menghubungi penjual ikan berkenaan agar menghentikan perniagaan ikan buntal tersebut di pasaran.
Bagaimanapun katanya, mereka masih menjual ikan tersebut dan menegaskan ikan berkenaan selamat untuk dimakan.
"Selain kes ibu bapa saya, sebenarnya banyak lagi kes kematian akibat keracunan ikan buntal ini di Johor.
"Persoalannya, mengapa tiada tindakan serius dibuat? Lagipun, Tan Si Dr Noor Hisham (bekas Ketua Pengarah Kesihatan) pernah berkata, jualan ikan buntal dikawal di bawah Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) 1972 dan Seksyen 13 Akta Makanan 1983 yang melarang jualan apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan.
"Oleh itu ikan buntal mengandungi toksin berbahaya tidak dibenarkan untuk dijual!" katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi ikan buntal: Keluarga mahu peniaga diheret ke mahkamah
Keracunan ikan buntal: Lelaki warga emas meninggal dunia