PENYANYI Andi Bernadee mengakui tidak mudah untuk namanya dikenali sebagaimana sekarang, biarpun sudah lebih lima tahun mencuba nasib dalam industri.
Menurut Andi, dia bersyukur akhirnya kehadirannya dalam bidang seni mula diterima ramai. Meskipun tidak sehebat rakan-rakan artis yang lain, namaun penyanyi kelahiran Sabah ini sentiasa yakin dengan apa yang dimilikinya.
"Bukan senang saya nak berada di tahap seperti hari ini. Macam-macam yang dilalui, mujurlah saya bukan seorang yang mudah berputus asa dan sentiasa positif dengan apa yang saya lakukan.
"Sebelum nama dikenali, pernah beberapa kali saya berpeluang membuat persembahan bersama barisan artis popular di pentas yang sama. Bila nama mereka disebut, semua penonton bersorak, tapi bila tiba nama saya, orang buat tak tahu sahaja.
"Banyak kali saya lalui keadaan seperti itu, tapi saya tidak pernah ambil hati sebaliknya sematkan dalam diri untuk berjaya seperti mereka juga. Alhamdulillah sekarang saya tidak berdepan perkara seperti itu lagi,” kata Andi yang pernah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian termasuk One In A Million, Akademi Fantasia dan Mentor.
Melalui pelbagai episod jatuh bangun dalam usahanya menempatkan diri, usaha Andi akhirnya berbaloi apabila single Satu Peluang yang dilancarkan pada hujung tahun lalu mendapat perhatian ramai, sekaligus berjaya menaikkan namanya.
Meski itu bukan single pertama yang dihasilkan, Andi atau nama lengkapnya, Andi Azrul Andi Mapangile, 29, tidak dapat menafikan keterujaannya apabila percubaan mengetengahkan lagu berentak raggaeton berjaya memberikan impak sedemikian.
Mahu terus mengekalkan momentum tersebut, Andi tampil dengan genre yang sama untuk single terbaharunya, Donde.
"Apabila genre ini mendapat respons yang begitu positif daripada peminat, saya fikir adalah lebih baik terus pegang genre ini, sementelah saya memang sukakan lagu rancak dengan sedikit suntikan elemen Latin.
"Alhamdulillah, Donde yang juga berentak raggaeton ini sekali lagi berjaya memberikan impak luar biasa kepada perjalanan kerjaya seni saya,” katanya.
Berkongsi keterujaannya, Andi memberitahu muzik video Donde turut menerima sambutan hangat dari peminat.
Terkini muzik video berkenaan telah meraih 5.3 juta jumlah tontonan di saluran Youtube semenjak dilancarkan pada 10 April lalu.
Ditanya apakah elemen gimik yang kini menjadi trend kebanyakan penyanyi BBNU untuk mempromosi lagu baharu, turut menjadi pilihannya dalam muzik vide Donde, Andi pantas menafikannya."Memang diakui bila kita buat muzik video, perlu ada sesuatu yang boleh menarik orang untuk menonton. Tapi ia tidak semestinya gimik."Apa yang saya lakukan dalam muzik video Donde, semuanya ada kena mengena dengan jalan cerita lagu tersebut. Bukan saja-saja buat,” tegasnya