PELUMBA Terengganu Hanelang, Amer Akbar Anuar berjaya menebus kekecewaannya tahun lalu apabila muncul juara kategori elit lelaki Kejohanan BMX Kebangsaan 2023 di Arena BMX Nasional, Nilai, Negeri Sembilan pada Ahad.
Bagi Amer, kejayaannya menyarung jersi kebangsaan selaku 'sang juara' cukup istimewa selepas dia menduduki tempat kelima susulan insiden kemalangan yang dialami dengan rakan sepasukannya, Saniy Syahmi Mohd Shafiee pada edisi 2022.
"Alhamdulillah... rezeki saya tahun ini dapat menang juara kebangsaan. Tahun lepas bukan rezeki saya menang juara kebangsaan selepas berlanggar dengan Saniy di selekoh kedua terakhir ketika menuju ke garisan penamat.
"Sasaran saya tahun ini memang nak raih gelaran juara kebangsaan, sarung jersi putih selaku juara dan catat masa terbaik. Syukur saya amat berpuas hati dengan prestasi pada perlumbaan akhir hari ini," katanya kepada pemberita pada Ahad.
Selaku juara, Amer merekodkan masa 29.564 saat (s) diikuti Saniy Syahmi yang menduduki tempat kedua dengan catatan 30.239s, manakala pelumba Johor, Syed Irfan Danish Syed Anuar di tangga ketiga, 31.975s.
Sejurus menyambar gelaran kebangsaan, Amer Akbar kini mahu mengalih fokus memburu kilauan pingat emas pada Kejohanan Lumba Basikal BMX Asia 2022 (ACC BMX 2022) di Filipina yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 16 Julai ini.
"Saya akan cuba buat lebih pada ACC kali ini selepas menduduki tempat ketiga kategori Bawah 23 tahun tahun lalu.
"Selepas Kejohanan BMX Kebangsaan ini, saya akan pulang ke kampung di Dungun, Terengganu untuk kembali berlatih.
"Saya harap dalam tempoh kira-kira dua minggu sebelum ACC, saya dapat membuat persiapan terbaik bagi menghadapi kejohanan di Filipina nanti. Sasaran saya kali ini sudah tentu mahu menang juara Asia," jelasnya.
Sementara itu, pelumba kelahiran Terengganu yang kini menggalas cabaran pasukan ECO MTB, Eddyna Nasuhar Zainal Abidin menampilkan kayuhan bertenaga apabila berjaya mempertahankan kejuaraan dalam kategori elit wanita.
Bagaimanapun, Eddyna mengakui dia terpaksa berdepan dengan saingan sengit daripada barisan pencabarnya pada saingan final kali berbanding ketika muncul juara kebangsaan tahun lalu.
"Sebelum perlumbaan final, saya tidak letak harapan tinggi untuk menang kerana saya sedar bakal berdepan beberapa pelumba handalan. Saya tahu kekuatan setiap pelumba kerana mereka juga kawan-kawan lama saya.
"Tahun ini mereka buat comeback. Jadi perlumbaan final hari ini memang cukup mencabar dan sengit sebab semua pelumba yang bertanding adalah fighter. Saya hanya cuba buat yang terbaik sehingga tamat perlumbaan," jelasnya.
Eddyna yang meraih pingat gangsa pada ACC BMX 2022 meninggalkan dua pencabar terdekatnya - Siti Shahirah Hashim yang mewakili Terengganu Hanelang dan Puteri Balqis Masek (Johor).