Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal

Iklan
Setakat ini, sembilan mangsa disahkan daripada keluarga yang sama, manakala identiti seorang lagi masih belum dikenal pasti.

KUALA TERENGGANU - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lapan lagi mangsa yang hilang di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih di Kemaman terpaksa dihentikan lebih awal petang tadi kerana dikhuatiri kepala air mungkin berulang.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azman Alias berkata, operasi hari pertama terpaksa ditamatkan pada 6 petang berikutan hujan lebat di lokasi SAR.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, seramai 37 anggota termasuk pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, BBP Kemaman, BBP Cheneh, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dikerah untuk operasi SAR hari ini yang bermula kira-kira 3 petang tadi.

"Selain cuaca buruk dan tidak menentu, kita juga terpaksa menamatkan operasi SAR lebih awal kerana bimbang ancaman binatang buas memandangkan kawasan jeram ini kawasan hutan simpan yang menjadi habitat haiwan liar," katanya yang dihubungi Bernama malam ini.

Iklan

Azman berkata, pihaknya menjangkakan terdapat pertambahan anggota dan kelengkapan untuk operasi SAR yang akan bersambung 8 pagi esok.

Beliau berkata, pihaknya telah memohon untuk mendapatkan bantuan anjing pengesan Unit K9 pihak bomba dan polis untuk mencari kesemua mangsa yang hilang.

"Kita turut mohon bantuan anggota Pasukan Gerakan Am dan penggunaan dron juga mungkin perlu untuk usaha pencarian," katanya.

Iklan

Azman turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti di lokasi yang berisiko berlaku fenomena kepala air dalam keadaan cuaca yang tidak menentu pada masa ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan dilaporkan mengesahkan seorang wanita dan anak lelakinya ditemukan lemas hari ini manakala lapan individu masih hilang dalam kejadian kepala air berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini, sembilan mangsa disahkan daripada keluarga yang sama, manakala identiti seorang lagi masih belum dikenal pasti.



ARTIKEL BERKAITAN Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air

Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air