Tragedi kepala air: Laporan awal dijangka siap dalam masa terdekat

Iklan
Pada Ahad, seramai 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air. Gambar kecil: Nik Nazmi

KOTA BHARU - Laporan awal mengenai kejadian kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih dekat Chukai, Terengganu dijangka siap dalam masa terdekat, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, ketika ini, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) masih melakukan tinjauan awal di lokasi kejadian dan pihak polis sedang melakukan siasatan.

Iklan
Iklan

"Sekarang sudah ada tinjauan awal daripada pihak JMG dan siasatan polis, laporan mengenai kejadian itu akan siap dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja projek membina dan menaik taraf sistem saliran di negeri Kelantan dekat Taman Wadi Iman, Kok Lanas, di sini pada Isnin.

Tragedi kepala air: Operasi SAR babitkan radius 32km

Iklan

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) lapan lagi mangsa yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih di sini dibahagikan kepada tiga sektor pencarian dengan keluasan radius pencarian 32 kilometer (km).

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, sektor pertama pencarian dari lokasi kejadian hingga lapan km; sektor kedua dari Balai Polis Air Putih ke Empangan Sungai Pinang (lapan km hingga 15 km) dan sektor ketiga bermula dari Sungai Pinang menghala muara Sungai Kemaman (15 km ke atas).

Iklan

"Radius pencarian bertambah ke 32 km disebabkan arus air yang deras kerana berlakunya hujan lebat pada malam tadi.

"Ketika ini pun didapati arus air masih deras dan menunjukkan tren peningkatan," katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih di sini, pada Isnin

Beliau berkata, sehingga pagi ini pasukan pencarian yang melibatkan 163 anggota daripada pelbagai agensi yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu belum menemui sebarang petunjuk keberadaan mangsa.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk di sepanjang sungai bermula dari Air Putih hingga ke Chukai untuk menyalurkan maklumat jika menemui sebarang petunjuk kepada pihak polis.

"Apa-apa sahaja, baik objek atau bau, sila maklumkan kepada Balai Polis Air Putih sama ada melalui panggilan telefon atau datang ke sini untuk salurkan kepada kita bagi membantu operasi SAR," katanya.

Katanya, pasukan SAR melibatkan seramai 30 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM (65), Pasukan Gerakan Am (PGA) (46), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (empat), badan bukan kerajaan (empat), pasukan khas teknikal oleh orang awam (sembilan) serta dibantu dua unit anjing pengesan K9 JBPM.

Sementara itu, Pengarah JBPM Terengganu, Hassan 'As'ari berkata fokus operasi pada hari ini lebih tertumpu kepada sektor pertama melibatkan pasukan dari PDRM, JBPM dan PGA.

"Kita rasa mungkin di situ sebab ada tanda-tanda... mangsa pertama kita jumpa 24 km dari tempat kejadian yang bermaksud tidak jauh dari muara Sungai Kemaman.

"Mangsa kedua jumpa pada jarak dua km dari tempat kejadian. Bermakna ada kemungkinan... sebab mayat kedua dijumpai tersangkut di dahan pokok, jadi ada kemungkinan mangsa-mangsa lain pun akan kaedahnya sama macam itu," katanya.

Hassan berkata, pihaknya akan melihat kepada pelbagai elemen secara terperinci terutamanya membabitkan keselamatan pasukan SAR dalam radius pencarian lebih-lebih lagi apabila penilaian JBPM hari ini mendapati aliran arus sungai masih deras.

"Berkaitan akses ke lokasi pula, sebenarnya kita ada strategi yang telah dirancang selain menempatkan satu pasukan pada setiap lima ke tujuh km untuk buat pencarian di kawasan sekitar," katanya.

Pada Ahad, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih di sini pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

Dua mayat pertama telah ditemukan orang ramai tengah hari Ahad iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11.

Lapan yang masih hilang terdiri daripada tujuh sekeluarga iaitu Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Seorang lagi individu yang hilang adalah tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor yang turut serta dalam perkelahan itu.

ARTIKEL BERKAITAN:Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air

Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal

Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air

Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung kesan lapan lagi mangsa