PELBAGAI program diatur serta dilaksanakan dalam usaha mengeratkan silaturahim dalam kalangan badan korporat serta pengamal media di negara ini.
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menganjurkan Program Jalinan Kasih di Natasya Riverside Resort Gopeng, di Perak pada 27 April lalu.
Program berkenaan berjaya menghimpunkan lebih 50 peserta melibatkan pengamal media termasuk kakitangan agensi kerajaan serta swasta.
Selain Sinar Harian, pelbagai agensi media lain turut menyertai program berkenaan antaranya Bernama, Berita Harian, Utusan Melayu Bhd, Kosmo!, China Press dan Media Selangor.
Peserta yang mula tiba di resort berkenaan sekitar 12 tengah hari teruja untuk menyertai acara utama iaitu water rafting.
Menurut Pengurus Konunikasi Korporat PKNS, Ishak Hashim, aktiviti water rafting dipilih sebagai acara utama untuk memberi pengalaman berbeza kepada semua peserta.
Katanya, aktiviti berkenaan juga merupakan julung kali dianjurkan bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran PKNS.
"Secara keseluruhannya program ini bertujuan untuk kukuhkan lagi hubungan PKNS dengan pengamal media media. Hampir 50 peserta terlibat dan semuanya gembira sepanjang program berlangsung,” katanya.
PKNS sebelum ini pernah menganjurkan Malam Aspirasi Media dan aktiviti Go-Kart bagi meraikan petugas media.
Menurut Ishak, pemilihan water rafting kali ini bertujuan untuk mempelbagaikan aktiviti yang dianjurkan sebagai tanda kenangan kepada semua peserta.
Pihaknya turut merancang untuk menghidupkan semula tradisi menganjurkan Malam Aspirasi Media.