SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Datuk Zuraida Kamaruddin menyelar tindakan dua menteri Persekutuan berhubung isu kompaun terhadap seorang peniaga wanita bukan Islam di Jalan Merbau, Kota Bharu pada Isnin lalu.
Zuraida berkata, pemimpin di peringkat Persekutuan tidak wajar mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, semata-mata ingin menjadi jaguh yang mempertahankan sesuatu bangsa sahaja.
"Keharmonian rakyat Malaysia berbilang kaum harus dipelihara dan tidak perlu kita mempolitikkan setiap isu yang pada dasarnya boleh diselesaikan secara musyawarah dan kesepakatan bersama,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada Isnin lalu, seorang peniaga wanita bukan Islam dikompaun Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) kerana berpakaian tidak sopan apabila hanya berseluar pendek hingga pangkal paha di tempat awam.
Pada Selasa, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming meminta MPKB-BRI supaya menarik balik kompaun yang dikeluarkan terhadap peniaga wanita itu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing pula turut mengulas mengenai isu berkenaan dan memberi peringatan kepada kepimpinan Pas agar belajar dari negara Islam lain yang maju dalam sektor pelancongan.
Dalam pada itu, ujar Zuraida, tindakan Menteri KPKT yang mencampuri urusan pihak berkuasa tempatan (PBT) tanpa sebab yang kukuh itu, telah menganggu sistem pentadbiran dan hubungan antara kerajaan negeri serta persekutuan yang pada ketika ini berada pada keadaan kritikal bagi sesetengah negeri.
"Tindakan Menteri KPKT ini juga seolah-olah ingin mencetuskan prejudis antara kaum di negeri Kelantan Darul Naim, sedangkan sejak sebelum Merdeka lagi rakyat pelbagai kaum di negeri pantai timur tersebut hidup dalam keadaan harmoni dan aman walaupun ditadbir oleh pemimpin konservatif Muslim,” ujarnya.
Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh King Sing itu juga disifatkan sebagai melulu dan tidak bertanggungjawab.
"Sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan seorang menteri Persekutuan haruslah menyatakan fakta yang jelas, ini nampaknya tidak dilakukan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sekalipun beliau mempunyai akses penuh kepada data pelancongan negara sama ada domestik ataupun antarabangsa,” jelasnya.