KEJAYAAN konsert Afgan Evolution Live In Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu telah menjadi penanda aras baharu buat penyanyi, Afgan untuk terus berkarya dan menghiburkan peminat setianya di sini.
Justeru penyanyi berusia 34 tahun itu bakal kembali dengan sebuah konsert istimewa, Afgan Live In Concert bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di Plenary Hall, KLCC pada 2 Disember depan dianjurkan oleh Renjana Idea.
Baru sahaja selesai menjayakan konsert Afgan Evolution Live In Jakarta, pada 1 Julai lalu, pemilik nama penuh Afgansyah Reza meluahkan rasa teruja dan tidak sabar untuk kembali ke Malaysja bagi menghiburkan seluruh peminat.
"Apatah lagi setiap kali saya menjayakan konsert di Malaysia, peminat tidak henti-henti memberikan sokongan. Itu satu penghormatan buat saya.
"Sejujurnya, saya juga tidak menjangka penganjur sekali lagi memilih saya untuk mengadakan konsert selepas Afgan Evolution Live In Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu. Namun, saya percaya mereka ada alasan tersendiri. Selain saya juga senang bekerjasama dengan mereka.
"Apa boleh dikatakan, untuk Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) ini, ia sesuatu yang cukup mengujakan kerana buat pertama kali saya bekerjasama dengan pemuzik daripada Malaysian Philharmonic Orchestra.
"Apabila dimaklumkan mereka bersetuju untuk menjayakan konsert ini, bagi saya ‘it’s amazing’!. Tidak sabar rasanya untuk menghiburkan peminat nanti,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Renjana Idea, Aliya Arisya Anuar berkata, pihaknya berbesar hati kerana Afgan sekali lagi menerima pelawaan dan bersetuju untuk menjayakan konsert di sini.
"Kali ini kita mahu memberikan kelainan pada konsert Afgan. Tidak seperti dulu yang mana tahun ini persembahan Afgan akan diiringi oleh MPO. Saya pasti deretan lagu popular Afgan itu menjadi lebih hebat dengan iringan pemuzik MPO.
"Jadi, kepada semua yang tak dapat nak menyaksikan konsert sebelum ini, jangan lepaskan peluang untuk hadir pada Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO). Kami menjanjikan persembahan hebat daripada Afgan,” ujarnya.
Berbeza dengan konsert sebelum ini, pada Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) bakal menyaksikan Afgan menyanyikan lagu-lagu popularnya.
Menariknya juga, pada konsert ini turut menghiburkan peminat adalah penyanyi jemputan yang bakal diumumkan penganjur kelak.
Tiket menyaksikan konsert Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) mula dijual pada 5 Julai, jam 10 pagi, di GOLIVE-ASIA.COM
Harga tiket bermula RM1488 (Lestari Merdu); RM998 (Panah Asmara); RM888 (Lenggang Puspita); RM588 (Heaven); RM338 (Knock Me Out); RM298 (M.I.A) dan RM258 (Bawalah Cintaku).