JUARA acara 400 meter (m) lelaki Sukan SEA 2023, Umar Osman berhasrat memperbaharui rekod kebangsaan miliknya pada Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya, Thailand, pertengahan bulan ini.
Atlet berusia 20 tahun itu berkata, bagi mencapai misi berkenaan, dia kini giat menjalani latihan bersama jurulatihnya, Simon Lau, di Sekolah Sukan Singapura sempena cuti semester di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor.
Menurut pelari kelahiran Johor Bahru yang berada dalam pasukan Sukan Malaysia (SUKMA) Johor itu, dia masih mengikuti program latihan disediakan Simon walaupun beliau kini menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih di Sport Singapore.
"Sasaran saya di Pattaya adalah untuk meningkatkan catatan terbaik peribadi (PB) (yang juga merupakan rekod kebangsaan). Sekiranya tidak dapat memperbaiki rekod, saya nak sekurang-kurangnya catat masa yang hampir serupa supaya dapat mengekalkan prestasi,” katanya.
Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya, yang merupakan kelayakan untuk Kejohanan Dunia 2023 di Budapest, Hungary, dijadualkan berlangsung lima hari bermula 12 Julai ini.
Pada Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh, Mei lalu, Umar mencipta sensasi apabila merangkul pingat emas dan acara 400m apabila memecahkan rekod kebangsaan sejak 22 tahun dengan catatan 46.34 saat (s).
Kejayaan itu memadam rekod 46.41s milik Mohd Zaiful Zainal Abidin pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia 2001 di Brunei.
Pelajar Diploma Rekabentuk Industri itu, turut membantu pasukan negara meraih gangsa acara 4x400m menerusi gandingan Muhammad Firdaus Zemi, Ruslem Zikry Putra Roseli dan S. Tharshan.
Mengulas jika beliau mempunyai hasrat untuk menyertai pelari pecut, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan pelari 400m wanita, Shereen Samson Vallabouy menjalani latihan di Amerika Syarikat, Umar berkata, perkara itu belum diputuskan.
"Saya masih mengikuti program latihan yang disediakan oleh jurulatih Simon buat masa ini. Saya berharap kemajuan latihan ini dapat dilihat di Pattaya dalam masa terdekat, sebelum beraksi di Sukan Universiti Dunia (di China bermula 28 Julai).
"Keputusan sama ada saya berkelana ke luar negara atau kekal berlatih di sini bergantung kepada keputusan ibu bapa dan jurulatih,” katanya. - Bernama