KUALA TERENGGANU - Biarpun diuji dengan kehilangan sejumlah besar ahli keluarga sekelip mata, bapa kepada mangsa lemas dalam tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih Kemaman pasrah atas kejadian luar jangka yang menimpa.
Eiyi Johari, 60, berkata, walaupun masih belum pasti jumlah sebenar yang meninggal dunia, dia reda atas ketentuan Ilahi dan tidak akan berhenti mendoakan yang terbaik buat anak, menantu dan tujuh cucunya.
"Sedih memang sedih. Apa lagi kita baru sahaja merayakan Aidiladha. Namun apa boleh buat sudah ditakdirkan begitu.
"Saya pasrah dan reda dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, pada Isnin.
Dalam kejadian itu, Eiyi dipercayai kehilangan sembilan ahli keluarga termasuk anak, Allahyarham Azizah, 40 ; menantu, Karim Abdullah, 39 dan tujuh cucu iaitu Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim,14; Muhammad Zulqarnain Haikal, 11; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Menurut Eiyi, dia dan keluarga anaknya itu tinggal berdekatan di Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan.
"Hari mereka keluar untuk ke Jeram Mawar, saya kebetulan tiada di rumah dan keluar bekerja. Hanya isteri di ada rumah dan dia yang beritahu kepada saya mereka mahu berkelah.
"Tak sangka pula lain yang jadi dan berita kematian diterima," ujarnya.
Terdahulu, dua jenazah mangsa tragedi kepala air dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk proses bedah siasat.
Jenazah Allahyarham Azizah, dan anaknya Allahyarham Muhammad Zulqarnain Haikal tiba kira-kira jam 10 pagi dengan dibawa oleh kenderaan polis.
Tragedi kepala air itu dipercayai meragut nyawa 10 mangsa termasuk seorang lelaki iaitu tunang kepada Putri Balqis Izzati dikenali sebagai Muhammad Fikri Saliman, 24 dari Batu Pahat, Johor.
ARTIKEL BERKAITAN:Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air
Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal
Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air
Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti
Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung kesan lapan lagi mangsa
Tragedi kepala air: Mayat ketiga, keempat ditemui - Polis
Tragedi kepala air: Operasi diperluas ke tiga zon babit 32 km