AMPANG - Lagak menggunakan motosikal yang diubah suai menggunakan ekzos bising hanya mengundang padah selepas disita menerusi Op Samseng Jalanan di Bukit Ampang Saujana dekat sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, operasi bermula jam 12.01 tengah malam itu dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
Menurutnya, operasi itu bertindak menyita dua motosikal jenis Yamaha Y15 dan satu Yamaha LC135.
"Penunggang terbabit telah dibawa ke Balai Trafik IPD Ampang Jaya untuk proses dokumentasi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, dalam operasi itu, polis turut mengeluarkan 15 saman atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu yang sah, ubah suai struktur kenderaan, kesalahan nombor pendaftaran.
Katanya, polis menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal agar tidak melakukan sebarang pengubahsuaian berlebihan pada mana-mana struktur asal kenderaan.
"Jadilah pengguna jalan raya yang patuh pada undang-undang. Utamakan keselamatan dan sayangi nyawa anda," ujarnya.
Tambahnya, BSPT IPD Ampang Jaya akan sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan demi membanteras pesalah-pesalah lalu lintas yang sering mengabaikan peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.